Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hadir ke mahkamah bagi Kes lucut hak 1MDB di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Foto FIKRI YAZID, 26 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini menangguhkan perbicaraan pelucutan hak 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Selain bekas Perdana menteri itu dinamankan sebagai responden, perbicaraan lucut hak itu turut melibatkan Datin Seri Rosmah Mansor serta 16 individu lain.

Perbicaraan yang sepatutunya bersambung di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan hari ini diubah menjadi pengurusan kes melalui aplikasi Zoom .

Tarikh perbicaraan baharu akan ditetapkan kemudian.

Pihak pendakwa mengemukakan hujah balas terhadap hujah responden pada hari ini agar saman tersebut dibatalkan.

Pada 8 Mei lepas Jabatan Peguam Negara (AGC) mengemukakan saman pelucutan berkaitan 1MDB terhadap Najib dan 17 yang lain terdiri daripada individu dan syarikat.

Tindakan undang-undang itu berhubung penyitaan ratusan barangan, termasuk beg tangan mewah dan 27 kenderaan daripada 18 responden tersebut.

Dalam saman pelucutan itu, Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan disebut sebagai responden pertama, diikuti oleh isterinya Rosmah Mansor.

Selain itu ahli keluarga Najib termasuk anak tiri, Riza Shahriz Abdul Aziz (lebih dikenali sebagai Riza Aziz), anak lelaki, Nor Ashman Razak serta anak perempuan Nooryana Najwa masing-masing dinamakan sebagai responden ketiga, keempat dan kelima dalam perbicaraan tersebut

Responden lain ialah Mohd Kyizzad Mesran, Senijauhar Sdn Bhd, Aiman Ruslan, Yayasan Rakyat 1Malaysia, Yayasan Semesta, Yayasan Mustika Kasih, Rembulan Kembara Sdn Bhd, Goh Gaik Ewe (ibu kepada ahli perniagaan berkaitan 1MDB, Low Taek Jho atau Jho Low).

Bekas pegawai bank Goldman Sachs Roger Ng, peguam Lim Hwee Bin, Kee Kok Thiam, Tan Vern Tact dan Geh Choh Hun turut dinamakan sebagai responden

Antara barang berharga yang dirampas pada 17 Mei 2018 dan pada 11 Jun 2018 adalah 52 beg tangan berjenama dan 10 utus jam tangan berjenama.

Wang tunai tunai dalam nota berbeza turut dirampas termasuk RM187,750 dalam nota lama, RM21,150 dalam nota baru, £320,500 dalam nota lama, £2,700 dalam nota baru, AS$100, €20, S$40, 2,870,000 rupee Sri Lanka, 13,177,00 rupiah, 376 hryvnias (mata wang Ukraine), 50 franc, 10 rands, 531 riyal, dan 740 peso Filipina.

Turut dirampas pada hari yang sama ialah empat utas jam tangan berjenama, 171 beg tangan mewah dan 27 pasang kasut, manakala 40 beg tangan mewah dirampas pada 11 Jun 2018.

Pada 2 Ogos 2018, sebanyak 27 kenderaan jenis Nissan Urvan turut disita oleh pihak berkuasa. -MalaysiaGazette