Suria Mohamad menyediakan makanan dengan hanya menggunakan dapur kayu di bawah jambatan Jalan Loke Yew, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 18 JUN 2021.

KUALA LUMPUR – Nasib pesara tentera Suria Mohamad yang terpaksa tinggal di bawah jambatan Loke Yew bersama enam lagi ahi keluarganya terus mendapat perhatian.

Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) memaklumkan, pihaknya akan menyerahkan bantuan kecemasan sebanyak RM2,000 kepada keluarga malang itu Isnin ini.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Mohd Nizam Yahya memberitahu MalaysiaGazette, bantuan kewangan bulanan RM700 juga telah dipersetujui untuk disalurkan kepada pesara tentera yang pernah berkhidmat dengan pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Bosnia itu.

Katanya, bantuan tersebut akan dimasukkan ke dalam akaun penerima mulai bulan depan (Julai) pada setiap 25 haribulan sehinggalah Jun tahun depan.

Bagaimanapun, katanya, untuk bantuan rumah, pihak MAIWP masih berbincang dengan Suria kerana terdapat permintaan lokasi dan kedudukan rumah yang diminta oleh beliau.

Semalam MalaysiaGazette menyiarkan tentang nasib Suria yang berusia 59 tahun bersama lima anak dan seorang isteri menumpang teduh di bawah jambatan Loke Yew kerana kesempitan kewangan untuk mencari rumah sewa.

Artikel berkaitan:

Beliau yang menerima pencen sebanyak RM900 sebulan terpaksa mengorbankan RM600 daripada pendapatannya kerana membayar pinjaman yang dibuat untuk memulakan perniagaan buah-buahan.

Kisahnya turut mendapat perhatian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah turun membuat tinjauan tentang keperluan keluarga berkenaan pagi tadi. – MalaysiaGazette