Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid
Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid.

KUALA LUMPUR – Dua lelaki warga India diselamatkan selepas polis menjalankan siasatan penularan rakaman video rancangan televisyen di India yang disiarkan dalam bahasa Tamil pada Khamis lalu.

Dalam rakaman tersebut, seorang lelaki warga India menceritakan pengalamannya dieksploitasi semasa bekerja di sebuah restoran di Petaling Jaya.

Lelaki tersebut mendakwa tidak dibayar gaji, dipukul, didera secara seksual dan menyaksikan rakannya dibakar pada bahagian kaki oleh majikan restoran berkenaan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, bertindak atas maklumat, pada 17 Jun lalu polis bersama Jabatan Tenaga Kerja dan Task Force Majlis AntiPemerdagangan Orang dan Anti-Penyeludupan Migran (MAPO) memeriksa sebuah restoran tersebut.

Semasa pemeriksaan dibuat, terdapat enam pekerja tempatan dan satu warga India.

Menurutnya, hasil temubual ke atas pekerja India itu, dia mengesahkan seorang rakan sekerjanya cedera terkena api pada tahun lalu.

Pada keesokan harinya, kira-kira jam 2.30 petang polis menerima aduan daripada seorang wanita tempatan berhubung penularan video sama di media sosial.

Katanya, berdasarkan laporan itu, polis telah mengadakan siasatan lanjut dan menyelamatkan dua lelaki warga India berusia 22 hingga 34 tahun yang merupakan pekerja dan bekas pekerja restoran berkenaan.

Susulan tindakan itu, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun, bekas penyelia restoran berkenaan.

Dia mempunyai enam rekod jenayah lampau termasuk penyalahgunaan dadah.

Dua lelaki yang diselamatkan telah ditempatkan di rumah perlindungan selama 21 hari mengikut Seksyen 44 (2) ATIPSOM 2007 manakala suspek direman enam hari sehingga 24 Jun 2021 di bawah Seksyen 13 Akta Anti-Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM). – MalaysiaGazette

Bekas pekerja restoran dakwa didera majikan