PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan empat pemilik syarikat kejuruteraan marin kerana disyaki memberi rasuah bagi tujuan mendapatkan projek sebuah agensi penguatkuasaan yang dianggarkan berjumlah RM10 juta.

Dua daripada mereka, masing-masing seorang lelaki dan wanita, direman selama selama empat hari bermula hari ini hingga Khamis ini manakala dua lagi direman sehingga esok, kata SPRM dalam kenyataan hari ini.

Perintah reman tersebut dikeluarkan oleh Majistret Shah Wira Abdul Halim di Mahkamah Majistret Putrajaya selepas suruhanjaya itu membuat permohonan tersebut pada pagi ini.

Menurut sumber, suspek terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita yang berusia lingkungan 40 hingga 71 tahun itu ditahan di Ibu pejabat SPRM Putrajaya kira-kira pada antara jam 9 hingga 10 malam semalam.

Empat suspek termasuk dua wanita direman SPRM bagi membantu siasatan rasuah RM10 juta kepada pegawai agensi penguatkuasaan.Ihsan SPRM Putrajaya.

Kesemua suspek ditahan selepas mereka hadir ke ibu pejabat SPRM untuk memberi keterangan dalam kes tersebut.

Mereka dipercayai memberi rasuah kepada pegawai agensi penguatkuasaan tersebut sebagai balasan membantu syarikat-syarikat terbabit mendapatkan kerja-kerja pembekalan, perkhidmatan dan penyelenggaraan berkaitan marin bermula 2018 hingga tahun ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.-MalaysiaGazette