Salahuddin Ayub

KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) mendakwa kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) mengejut tidak lama lagi.

Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, dakwaan itu dikuatkan lagi dengan jangkaan apabila Parlimen tidak akan dibuka dalam masa terdekat.

“Mr PM (Perdana Menteri) pula nak tubuh jawatankuasa kaji pembukaan Parlimen. Saya rasa ada muslihat.

“Firasat saya Parlimen tak akan dibuka. Pilihan raya mengejut akan berlaku sekitar bulan Oktober tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bekas Menteri Pakatan Harapan (PH) itu mengulas mengenai kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa kerajaan akan melibatkan wakil pembangkang dalam jawatankuasa yang telah dibentuk untuk meneliti aspek-aspek penting sebelum persidangan Parlimen diadakan.

Muhyiddin berkata, kerajaan memberikan komitmen bahawa keputusan pembukaan persidangan Parlimen akan diputuskan oleh kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang di dalam jawatankuasa berkenaan.

Sebelum ini, beberapa aduan daripada pihak pembangkang bahawa mereka dikecualikan daripada jawatankuasa tersebut dan kebimbangan bahawa Parlimen hibrid melumpuhkan peranan Ahli Parlimen dan sekadar menjadi ‘rubber stamp’. – MalaysiaGazette