KUALA LUMPUR – UMNO Kelantan menyokong penuh pernyataan Presidennya, yang dianggap selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu yang menitahkan agar Parlimen perlu bersidang segera.
Pengerusinya, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, bagi UMNO Kelantan, kesuburan demokrasi perlu dihormati semua pihak sejajar dengan prinsip Rukun Negara dan Perlembagaan yang dijunjung seluruh rakyat.
Sidang Parlimen kali ini, katanya, amat mustahak disegerakan bagi membolehkan suara, harapan dan pelbagai tuntutan rakyat yang sedang dalam keresahan serta kesempitan di kala pandemik Covid 19 dapat disuarakan dan dibahaskan.
“Seterusnya suara itu diangkat secara rasmi oleh wakil-wakil yang rakyat pilih melalui sistem demokrasi berparlimen.
“Rakyat perlu tahu dan mendapat penjelasan secara tuntas daripada kerajaan bagi setiap perbelanjaan yang banyak menimbulkan persoalan mengenai ketirisan.
“Seterusnya memberikan semak dan imbang kepada setiap tindakan kerajaan yang meragukan sepanjang tempoh darurat berlangsung sejak Februari lalu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau mengulas pendirian UMNO menerusi Mesyuarat Khas Majlis Kerja Tertinggi UMNO akan memuktamadkan tindakan selanjutnya berhubung pendirian Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu yang menitahkan agar Parlimen segera bersidang.
Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, UMNO berpendirian tegas untuk mendesak kerajaan menghormati titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu agar memanggil sidang Parlimen dalam tempoh 14 hari daripada tarikh kenyataan tersebut.
Jelasnya, pendirian itu selari dengan asas UMNO yang memelihara dan membela Institusi Raja-Raja Melayu sebagaimana termaktub dalam Fasal 3 Perlembagaan UMNO.
Menurut Ahmad Jazlan, UMNO Kelantan berpandangan Proklamasi Darurat itu perlu ditamatkan selewat-lewatnya 1 Ogos ini kerana jelas gagal menangani dan melandaikan lengkuk jangkitan wabak Covid-19.
Sebaliknya, ujar beliau, ia lebih digunakan oleh kerajaan untuk tujuan political move pihak tertentu.
Justeru, katanya, UMNO Kelantan mendesak kerajaan tanpa sebarang helah dan dalih untuk segera mengadakan sidang Parlimen dalam tempoh 14 hari daripada hari ini dengan menggunakan kaedah peraturan yang telah termaktub dalam Ordinan Darurat 2021 sebagaimana disuarakan oleh rakyat. – MalaysiaGazette