363 buah mesin simulasi (mesin judi) yang dirampas dalam 18 kontena oleh bukit aman dalam ops kontraban di Klang semalam.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 18 kontena mengandungi 363 mesin simulator atau mesin judi yang dianggarkan bernilai RM5.4 juta dirampas polis di Sungai Jati, Klang semalam.

Kesemua mesin judi itu disyaki telah diseludup masuk ke dalam negara untuk kegunaan aktiviti perjudian.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Zainal Abidin Kasim berkata, kejayaan itu menyusul menerusi Operasi Kontraban bermula pukul 5.30 petang semalam di kawasan premis dekat Sungai Jati.

Katanya, sepasukan anggota serta pegawai Cawangan Perisikan dan Siasatan Khas (CPSK) JKDNKA Bukit Aman dengan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman (JIPS) terlibat dalam operasi berkenaan berjaya menahan sembilan lelaki.

Kesemua mereka berusia antara 22 hingga 49 tahun termasuk pemilik premis serta pekerja mereka menerusi serbuan tersebut hasil risikan dan maklumat awam.

“Pada masa sama, kita menemui dan merampas 44,000 rokok putih pelbagai jenama dipercayai diseludup bernilai RM36,000, 86 kotak minuman keras jenis bir bernilai RM12,200 serta minuman beralkohol tinggi bernilai RM30,000 dalam dua lori.

“Kita juga merampas 363 mesin judi yang nilainya dianggarkan RM5.445 juta, dua buah lori serta 18 buah kontena terbabit masing-masing bernilai RM140,000 serta RM180,000 dengan jumlah keseluruhannya RM320,000 turut disita bagi membantu siasatan.

“Jumlah keseluruhan rampasan dalam serbuan itu adalah sebanyak RM5.8 juta,” katanya.

Menurutnya, kesemua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan untuk direman mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Beliau menegaskan selepas ini pihaknya akan bertindak lebih agresif dengan mengadakan lebih banyak operasi dalam masa terdekat.-MalaysiaGazette