Foto Facebook Johor Southern Tigers.

KUALA LUMPUR – Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) telah memuktamadkan pelan lantai dan reka bentuk pusat latihan baharu yang bakal dibina berhadapan Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri.

Kelab itu dalam satu kenyataan menerusi laman Facebook Johor Southern Tigers, tanah di kawasan itu telah pun dibersihkan beberapa minggu yang lalu untuk memberi laluan kepada kerja-kerja pembinaan.

Pusat latihan serba canggih itu akan menempatkan kesemua pasukan JDT bermula dari Akademi JDT hingga ke pasukan senior.

Lebih menarik, ia turut menempatkan sebuah bangunan dua tingkat berbentuk jata JDT yang dikelilingi beberapa padang bola sepak ‘outdoor’.
Bangunan itu akan menjadi ibu pejabat pusat latihan dan turut dilengkapi kemudahan fasiliti seperti gimnasium, ruang-ruang pejabat, auditorium, pusat pemulihan, kolam renang, kafeteria, ruang makan dan padang rumput tiruan ‘indoor’.

Pusat Latihan JDT yang baharu itu akan menempatkan pasukan senior dan junior JDT, mempunyai stadium mini, asrama akademi belia, dua padang sintetik ‘outdoor’ dan beberapa padang bola sepak.

Semua fasiliti JDT seperti Stadium Sultan Ibrahim, Pusat Latihan JDT di Padang Seri Gelam dan pusat latihan baharu ini adalah hasil idea dan rekaan pemilik JDT,  Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga Tunku Mahkota Johor.

Fasiliti latihan baharu JDT ini akan mempunyai reka bentuk unik yang akan menjadi satu kebanggaan kepada semua peminat JDT.

Ini adalah selari dengan sasaran untuk menjadikan Stadium Sultan Ibrahim sebagai sebuah tarikan pelancongan dan pusat sukan di mana pengunjung boleh menikmati perlawanan bola sepak dan beriadah. – MalaysiaGazette