Shahidan Kassim

KUALA LUMPUR – Ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) secara majoriti bersetuju dan menjunjung tinggi titah Yang di-Pertuan Agong (YDPA) agar sidang Dewan Rakyat diadakan secepat mungkin.

Bagaimanapun, Pengerusi Ahli Majlis Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC), Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, mereka berpandangan sebarang notis memanggil sidang Parlimen perlu dibuat 28 hari bukannya 14 hari seperti didesak oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Shahidan yang juga Ahli Parlimen Arau menepis dakwaan pihak tertentu kononnya kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai tidak berguna sedangkan majoriti diwakili UMNO.

“Kami bersetuju Parlimen disegerakan tapi ikut notis. Notis adalah 28 hari, bukan 14 hari (dan) itu sebenarnya tidak tepat.

“Dan kalau kerajaan ini tidak berguna, UMNO majoriti dalam kerajaan. Macam mana kerajaan tidak berguna sedangkan pemimpin UMNO ramai di dalamnya?,” soal beliau dalam kenyataan.

Justeru, Shahidan menasihatkan mana-mana pemimpin UMNO yang menjadi sebahagian dalam kerajaan PN supaya memberikan gambaran yang betul dan tidak mengelirukan rakyat.

“Saya nasihatkan semua pihak bila tegur kerajaan, tegur atas dasar bersama dalam kerajaan. Kalau nak tegur secara terbuka, itu tidak tepat. Kalau nak bagi pandangan pun, biarlah pandangan yang betul,” ujarnya.

Dalam pada itu, Shahidan yang juga Ahli Parlimen Arau mendakwa, sehingga kini majoriti Ahli Parlimen UMNO masih berpegang teguh terhadap keputusan parti dalam Perhimpunan Agung lalu untuk kekal menyokong kerajaan PN hingga pilihan raya akan datang.

Sehubungan itu, katanya, satu Mesyuarat Khas Majlis Kerja Tertinggi UMNO perlu diadakan bagi memuktamadkan tindakan selanjutnya. – MalaysiaGazette