Ramai pelajar sekolah bekerja sebagai penghantar untuk menanggung keluarga. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kakitangan kurier dan penghantar makanan mula menerima vaksin bulan depan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin berkata, perkara itu dimuktamadkan menerusi perbincangannya bersama Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong.

“Kita telah setuju untuk mula memberi vaksin kepada kakitangan kurier dan penghantar-penghantar makanan bermula Julai ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama-sama Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun yang diadakan secara dalam talian di Seremban hari ini.

Beliau terdahulu diminta mengulas mengenai kebimbangan kebimbangan pekerja kurier menjadi pembawa wabak Covid-19 kerana bekerja dalam situasi yang terdedah dengan penularan pandemik.

Sementara itu, Khairy yang juga merupakan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) juga memaklumkan status penggunaan vaksin Pfizer kepada remaja akan diumumkan Khamis ini.

Baru-baru ini keputusan itu akan dibuat pada mesyuarat Jawatankuasa Akses Jaminan Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) yang dipengerusikan beliau dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.

Untuk rekod, 12 Jun yang lalu beliau dilaporkan memaklumkan kerajaan sedang meneliti untuk memberikan vaksin Covid-19 kepada pelajar yang akan menduduki peperiksaan tahun ini selepas Pihak Berkuasa Kawalan Dadah meluluskan pengunaan vaksin Pfizer-BioNTech bagi individu berusia 12 tahun ke atas.-MalaysiaGazette