Pemandu lori yang cuba menyogok polis elak disaman kerana langgar isyarat lampu merah ditahan untuk tindakan lanjut.

KUALA LUMPUR – Seorang pemandu lori yang cuba menyogok polis bagi mengelak dikenakan saman akhirnya membawa padah apabila ditahan.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Kuala Lumpur, Datuk Azman Ayob berkata, suspek merupakan seorang warga asing yang bekerja sebagai pemandu lori.

“Semasa kejadian di ibu negara semalam, suspek telah memandu lorinya dan tidak berhenti di lampu isyarat merah sebelum ditahan untuk tindakan saman oleh anggota Kereta Peronda Polis MPV.

“Malah siasatan lanjut suspek juga tidak mempunyai lesen memandu kelas E yang disyaratkan undang-undang dan dia cuba menyogok wang kepada anggota sebagai tindakan mengelak dikenakan saman,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Suspek yang ditahan sedang disiasat di bawah Seksyen 214 KK & Seksyen 15(1) (c) Akta Imigresen.

Ujarnya, kejayaan itu menunjukan amalan integriti sentiasa dititikberatkan bagi semua warga polis dalam menjalankan penugasan seharian.

“Orang ramai juga dinasihatkan agar mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan dan hormati hak serta keselamatan pengguna jalanraya yang lain.

“Amaran keras juga diingatkan kepada orang ramai di larang sama sekali mencuba untuk memberi rasuah kepada pihak polis yang sedang menjalankan tanggungjawab mereka,” tegasnya.- MalaysiaGazette