Gambar hiasan

SEJAK  tularnya pandemik Covid19 ini, kita semakin kerap mendengar istilah hibrid dikumandangkan di dada akhbar, laporan berita, webinar malah di warong-warong kopi. Banyak aktiviti manusia ditindikkan dengan istilah hibrid sebagai satu tanda usaha menyelesaikan masalah terkait kekangan akibat SOP Covid19. Antaranya pembelajaran secara hibrid, bekerja secara hibrid, majlis secara hibrid malah di Malaysia mutakhir ini sedang popular dengan cadangan penganjuran sidang parlimen secara hibrid.

Namun begitu, apa sebenarnya hibrid itu? Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, hibrid membawa dua maksud, yang pertama; anak (haiwan atau tumbuhan) yang dihasilkan daripada percantuman dua jenis benih yang berlainan (kacukan). Manakala maksud kedua; sifat sistem yang terbentuk daripada gabungan beberapa teknologi yang berlainan. Kamus Komputer terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka pula menakrifkan hibrid sebagai sifat sistem yang terbentuk daripada gabungan beberapa teknologi yang berlainan.

Daripada beberapa takrifan di atas, dapatlah kita simpulkan bahawa, penggunaan istilah hibrid dalam konteks kehidupan era Covid-19 ini adalah satu gabungan atau adaptasi beberapa sistem atau teknologi yang baik dalam menghasilkan sesuatu perkara supaya perkara itu dapat dilaksanakan dengan lebih efisien dan mesra SOP Covid-19.

Pendekatan hibrid dilaksanakan bertujuan untuk memberikan keseimbangan kerja produktif dan optimum dengan tekanan (stress) yang berkurang dan kurangnya pergerakan manusia. Ia mengoptimumkan penggunaan sains dan teknologi terkini serta sistem kerja yang lebih cekap. Pelaksanaan budaya kerja hibrid telah menjadikan beberapa perkara yang dahulunya dianggap satu kekangan untuk menghasilkan produktiviti sebagai mitos. Sebagai contoh, kekangan jarak yang jauh, masa yang singkat serta kekurangan pekerja.

Hibrid mencantas karenah birokrasi dan protokol remeh. Sebagai satu contoh yang mudah, jika dahulu sesuatu urusan itu memerlukan kita berjumpa dengan beberapa pagawai, mencetak dan mengisi beberapa borang, mendapatkan tandatangan dan pengesahan yang pelbagai peringkatnya serta melibatkan pergerakan dari satu pejabat atau kaunter yang berlainan, namun apabila budaya hibrid ini diaplikasikan, kita dapati bahawa banyak urusan tersebut mampu diselesaikan hanya dengan kita berada di rumah, duduk menghadap komputer, tanpa helaian borang bercetak dan yang menariknya urusan itu diselesaikan dengan sempurna.

Sekarang ini masyarakat semakin terbiasa dengan norma hibrid ini. Sebelum ini contohnya majlis perkahwinan perlu dibuat dengan pelbagai peringkat acara, merisik, meminang, majlis akad dan persandingan. Senarai undangan mencecah ribuan. Persediaan jamuan, hiasan, pakaian dan perkhidmatan yang bukan kepalang. Umpama tidak sah perkahwinan tanpa rantaian ini. Hikmah adanya Covid19 ini, kita dapat melihat semakin ramai pasangan yang melalui proses perkahwinan dengan sangat ringkas.

Tiada lagi acara, tiada lagi undangan dan jamuan besar. Akad nikah dibuat sederhana di Pejabat Agama malah ada juga secara atas talian. Gabungan di antara tuntutan agama serta budaya dengan kemudahan sains dan teknologi telah membolehkan rukun pernikahan ini dilangsungkan. Yang penting ia cukup syarat dan sah di sisi syarak.

Begitu juga acara-acara lain seperti persidangan dan seminar yang menjadi webinar, sesi pembelajaran dan pengajaran, majlis konvokesyen universiti dan seumpamanya, semuanya pada ketika ini dapat diteruskan secara hibrid dan mencapai matlamat asas yang ditetapkan. Perkara-perkara yang bersifat kosmetik yang terpaksa digugurkan dari acara-acara ini merupakan satu keperluan, demi memenuhi SOP dan peraturan yang ditetapkan kerajaan demi menyekat penularan wabak.

Persekitaran kerja hibrid telah membolehkan manusia menjadi lebih kreatif dan dinamik. Dengan pergerakan yang terbatas, kebersamaan fizikal yang terhalang, manusia akan sentiasa memikirkan bagaimana untuk melaksanakan sesuatu tugasan itu dari jarak jauh. Dalam hal ini, teknologi dan kemudahan komunikasi atas talian telah banyak membantu merealisaikan sesuatu proses kerja secara hibrid.

Masih terlalu awal untuk kita memutuskan bahawa keberkesanan dan produktiviti kerja secara hibrid ini lebih baik daripada kaedah biasa. Namun, satu kajian yang dibuat oleh Boston Cunsulting Group mendapati bahawa 75 peratus daripada pekerja yang melaksanakan transisi kerja ke kaedah hibrid ini menunjukkan prestasi kerja serta produktiviti yang lebih baik atau setanding dengan cara kerja sebelum pandemik. Ini satu petunjuk yang positif. Sudah pasti di peringkat penyesuaian ini masih banyak berlaku masalah dan kekurangan, tapi apabila semua pihak mula memahami dan mengadaptasi budaya baharu ini ianya akan bertambah lancar malahan lebih berdaya maju untuk diteruskan.

Pembudayaan hibrid ini telah terbukti dapat menjimatkan banyak sumber. Sama ada dari sudut kewangan, tenaga kerja, masa dan kelestarian alam sekitar. Kaedah hibrid memberikan kebebasan dan autonomi kepada manusia dalam mencatur urusan kerja dan peribadi masing-masing. Sesungguhnya kehadiran pandemik Covid-19 ini telah menjadikan manusia lebih efisien dan terbuka dalam melaksanakan sesuatu perkara.

Sesuatu yang dahulunya dianggap asing dan pelik untuk dilaksanakan, kini sebahagiannya telah menjadi budaya kerja. Pembudayaan hibrid ini merupakan satu kejayaan transformasi dalam sistem kehidupan manusia era baharu. Namun begitu kebebasan dan kesenangan yang terhasil daripada budaya hibrid ini tidak akan lestari sekiranya tidak diisi dengan nilai-nilai suci seperti amanah, jujur dan integriti.

Shafry Salim
Timbalan Pendaftar
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast