Faiz Fadzil

KUALA LUMPUR – Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin perlu jujur menjelaskan kepada rakyat mengenai kelewatan pembelian vaksin.

Ini susulan kenyataan balas Duta Kesatuan Eropah (EU) ke Malaysia, Michalis Rokas bahawa EU tidak membolot pembelian vaksin yang kononnya melibatkan penguasaan kartel membeli secara pukal daripada kilang pembuatan vaksin.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Faiz Fadzil berkata, penjelasan dari Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu penting kerana isu vaksin dan vaksinasi menjadi perhatian rakyat hari ini.

Katanya, rakyat menuntut pemberian vaksin dipercepatkan bagi menghalang penularan wabak Covid-19.

Apatah lagi, katanya, kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah menggunakan dana Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) sebanyak RM5 bilion bagi program imunisasi itu.

“Khairy dan PN perlu bersikap lebih berakauntabiliti terhadap penggunaan wang rakyat ini kerana ia adalah satu jumlah yang banyak dibelanjakan, tetapi gagal untuk bersaing dengan negara lain dalam pembelian vaksin.

“Sudahlah rakyat tidak terbela, kerajaan boleh pula berbelanja besar dalam keadaan ekonomi negara yang semakin lumpuh hari ini dengan lebih 800,000 rakyat hilang pekerjaan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, sikap kerajaan menggunakan kuasa darurat untuk berbelanja besar tanpa pembentangan, perbahasan dan kelulusan Parlimen menjurus kepada salah guna kuasa.

Terbaru, ujar Faiz, PN dikatakan akan berbelanja RM300 juta lagi untuk pembelian 500 ambulans yang menjadikan sebuah ambulans berharga RM600,000 yang merupakan satu lagi pembaziran.

“Peruntukan yang besar ini seharusnya boleh digunakan untuk meningkatkan perkhidmatan kesihatan dan pemulihan ekonomi rakyat.

“Atas sebab inilah Parlimen perlu berfungsi segera supaya segala perbelanjaan kerajaan PN ini dapat disemak imbang dan PICK dapat dibincangkan secara tuntas demi kemaslahatan negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.