Melaka ADUN state assembly assemblymen loses majority President of UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi Muhyiddin Yassin Perikatan Nasional Supreme Council meeting withdraw support PN Prime Minister
President of UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – UMNO digesa untuk segera mengadakan mesyuarat dan mengumumkan keputusan berhubung pemilihan parti dan menyelesaikan segala isu berbangkit.

Timbalan Ketua UMNO Setiawangsa, Datuk Mohd. Irwan Rizal Mohd. Ali Napiah berkata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi Zahid dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) perlu memberikan perhatian terhadap isu pentadbiran parti itu seperti status mesyuarat perwakilan yang sehingga kini tidak diberikan penjelasan menyeluruh.

Beliau berkata, adalah adil untuk UMNO meminta persidangan parlimen diadakan, namun pada masa sama perlu mengutamakan isu-isu berbangkit dalaman parti termasuklah melibatkan kredibiliti Presiden UMNO yang perlu juga diselesaikan segera.

“Ini bagi membersihkan nama presiden dan yang paling utama nama baik UMNO. Ini juga perlu diselesaikan segera.

“MKT perlu mesyuarat dan mengumumkan keputusan mereka berkenaan mesyuarat perwakilan dan segala isu berbangkit mengikut segala aturan yang ada,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Mohd. Irwan, kenyataan Ahmad Zahid yang menyatakan UMNO berpendirian tegas untuk mendesak kerajaan menghormati titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja-Raja Melayu agar memanggil sidang parlimen dalam tempoh 14 hari daripada tarikh kenyataan tersebut dianggap boleh mengelirukan rakyat.

Menurut beliau, ayat yang digunakan Ahmad Zahid tidak mencerminkan ayat sebenar yang digunakan dalam titah Yang di-Pertuan Agong dan tidak tertera ada perkataan 14 hari dititahkan melalui kenyataan rasmi media Istana Negara.

“Timbul persoalan siapa yang mengeluarkan kenyataan 14 hari tersebut? Mengikut Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong hendaklah memanggil parlimen dari semasa ke semasa.

“Maka adalah tidak wajar untuk mana-mana pihak untuk menetapkan sebarang tarikh bagi memanggil sidang parlimen kecuali Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Ahli MKT UMNO, Datuk Zahidi Zainul Abidin semalam menggesa pemilihan disegerakan supaya Ahmad Zahid dapat mengubah keputusan parti yang sebelum ini menolak kerjasama dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia itu mendakwa, Ahmad Zahid dan sekutunya masih meneruskan kerjasama dengan Anwar.

Sementara itu, Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim turut mendedahkan seorang Ahli Parlimen daripada UMNO mengaku beliau menandatangani dokumen sokongan untuk Anwar Ibrahim dilantik menjadi perdana menteri.

Shahidan berkata, ahli parlimen itu memberitahunya, beliau menandatangani dokumen sokongan itu pada 7 Jun lalu di hadapan Anwar dan Ahmad Zahid serta seorang individu kenamaan. – MalaysiaGazette