Polis mencari seorang lelaki warga Myanmar bagi membantu siasatan kes cubaan membunuh seorang wanita Myanmar.

KUALA LUMPUR – Gara-gara cinta ditolak, seorang lelaki warga Myanmar dikatakan cuba membunuh seorang wanita senegaranya yang sudah berumahtangga itu menggunakan pisau di Taman Wangsa Permai Desa Jaya.

Bagaimanapun, mangsa terselamat dan mengalami luka akibat kelaran ringan dalam kejadian semalam, kata Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed hari ini.

Menurutnya, dalam kejadian pukul 6.10 petang semalam, polis menerima maklumat daripada orang awam menyatakan seorang wanita Myammar telah diserang dengan pisau oleh kenalannya juga seorang lelaki Myanmar.

“Suspek berusia dalam lingkungan 40-an telah menyerang wanita itu yang berada di hadapan sebuah kedai di Jalan Wangsa 3/5, Taman Wangsa Permai Desa Jaya.

“Hasil siasatan awal mendapati, mangsa berumur 35 tahun pemegang kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) telah mengalami luka kelar pada sebelah kanan leher, sebelah kiri dahi dan pada tangan kanan,” katanya.

Mangsa dibawa ke Hospital Selayang untuk mendapatkan rawatan lanjut dan mangsa dalam keadaan stabil,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Zainal, siasatan awal mendapati motif kejadian berpunca rasa cemburu kerana suspek menaruh perasaan cinta kepada mangsa yang juga merupakan kenalannya namun mangsa menolaknya.

“Mangsa sebelum ini pernah diganggu oleh suspek beberapa kali sebelum kejadian ini menimpanya. Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh,” katanya.

Sehubungan itu, polis menjejaki seorang lelaki Myanmar sebagai saksi utama kes berkenaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian dan suspek diminta menghubungi pegawai penyiasat kes Inspektor Nur Azrul Amirul Mustafa di talian 03-61262222 atau 011-1230 0778 bagi membantu siasatan.- MalaysiaGazette