Lakaran fotofit suspek lelaki pidofilia yang dikehendaki polis PJ untuk membantu siasatan dua kanak-kanak lelaki menjadi mangsa perbuatan lucah di sebuah pangsapuri di Petaling Jaya.

PETALING JAYA – Polis sedang memburu seorang lelaki yang disyaki melakukan amang seksual melampau ke atas dua kanak-kanak lelaki di sebuah pangsapuri di Seksyen 19, di sini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, suspek sedang dijejaki selepas polis menerima laporan daripada seorang wanita tempatan berusia 40 tahun baru-baru ini.

Dalam laporan yang dibuat pada 21 Jun lalu, jam 11.15 pagi, wanita itu mendakwa suspek telah menarik tangan dua anak lelakinya yang masing-masing berusia lapan dan sembilan tahun ketika sedang menjual kuih di pangsapuri itu.

Kejadian itu berlaku ketika kedua-dua mangsa sedangĀ  menaiki tangga.

“Tiba-tiba, datang seorang lelaki yang tidak dikenali berumur lingkungan pertengahan 20-an menarik tangan mangsa dan melakukan kelucahan melampau terhadap kedua-dua mangsa.

“Kedua-dua mangsa yang ketakutan berlari pulang ke rumah sambil menangis sebelum mengadu kejadian menimpa mereka kepada ibunya,” kata beliau.

Mohamad Fakhrudin berkata, polis telah membuka kertas siasatan dan insiden itu disiasat di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Menurutnya, fotofit suspek telah dilakar dan diskripsi suspek berusia lingkungan usia 26 tahun dengan ketinggian lebih kurang 168 sentimeter, berbadan kurus serta berambut pendek.

Suspek kini dikehendaki polis dan pemburuan telah dipergiatkan.

Orang awam khususnya di daerah Petaling Jaya yang mengetahui tentang kejadian atau mengenali diskripsi suspek agar tampil ke balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan Pengawai Penyiasat Jenayah IPD Petaling Jaya, Inspektor Naresh Kumar Mahalingam di talian 016-975 7113. – MalaysiaGazette