Noor Aziah Mohd Awal.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) gembira dengan keputusan kerajaan baru-baru ini yang membenarkan kanak-kanak berusia 12 hingga 17 tahun untuk diberi Vaksin Comirnaty yang dihasilkan oleh Pfizer-BioNTech.

Ini kerana Peningkatan jumlah kes kanak-kanak dijangkiti Covid-19 yang turut melibatkan beberapa kematian akibat virus itu adalah amat membimbangkan, kata Pesuruhjaya Kanak-Kanak, Datuk Noor Aziah Mohd Awal.

Lebih 82,000 kanak-kanak telah didapati positif untuk Covid-19 di Malaysia.

Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, daripada jumlah yang dinyatakan, 19,851 kes adalah kanak-kanak di bawah umur empat tahun; 8,237 kes adalah berumur antara lima hingga enam tahun; 26,851 kes (tujuh hingga 12 tahun) dan 27,402 (13 hingga 17 tahun), yang mana mereka merupakan pesakit Covid-19 dalam kategori 1, 2 dan 3.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah telah pada awal bulan ini melaporkan bahawa tiga kanak-kanak di bawah umur lima tahun telah meninggal dunia dan 27 kanak-kanak telah dimasukkan ke unit rawatan intensif pediatrik pada tahun 2021, dengan 19 daripadanya berusia di bawah lima tahun.

Menurutnya, berdasarkan Perkara 24 Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC), adalah menjadi kewajiban sesebuah negara pihak untuk mengambil langkah-langkah yang sesuai dalam mengurangkan kes kematian bayi dan kanak-kanak.

Pihak kerajaan dalam situasi ini, memenuhi tanggungjawabnya di bawah CRC, dengan membenarkan kanak-kanak berusia 12 hingga 17 tahun diberi vaksin kerana lebih kurang jumlah kanak-kanak yang akan terdedah kepada jangkitan penyakit ini, sekaligus menyumbang kepada pencapaian kawalan imuniti di dalam negara.

Noor Aziah berkata, vaksinasi adalah mekanisme yang amat penting untuk menghentikan penyebaran berterusan Covid-19 dan Pesuruhjaya Kanak-Kanak memohon kepada semua ibu bapa untuk mendaftarkan anak-anak mereka yang berusia 12 tahun ke atas untuk vaksinasi Covid-19,kerana ini akan meningkatkan perlindungan individu dan masyarakat terhadap virus tersebut.

Tambahnya, kanak-kanak yang telah diberi vaksin sepenuhnya akan dapat kembali menjalankan aktiviti normal mereka, termasuk pergi ke sekolah, bermain dan melakukan aktiviti rekreasi. – MalaysiaGazette