B. Sathianathan.

KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) disaran menjadikan perlawanan persahabatan antarabangsa sebagai medan terakhir menilai potensi pemain asing sebelum memutuskan untuk menaturalisasikan mereka beraksi bersama skuad negara.

Bekas pengendali skuad kebangsaan B. Sathianathan berkata, menerusi siri aksi persahabatan, ketua jurulatih dapat melihat lebih jelas kesesuaian dan keberkesanan kehadiran pemain asing dalam corak permainan pasukan kebangsaan berbanding hanya memantau mereka dalam saingan liga domestik.

Jelas beliau, pengambilan pemain naturalisasi bertujuan memperkuat pasukan tidak salah, namun proses pemilihan pemain perlu dilakukan dengan teliti dan mengambil kira semua aspek terutama pandangan serta penilaian ketua jurulatih.

“Saya setuju dengan idea menggunakan pemain naturalisasi jika dia adalah pemain yang baik, sesuai untuk bersama pasukan kebangsaan dan sesuai untuk berada dalam pelan jurulatih kebangsaan. Kita tidak perlu pandai-pandai (pilih), biar barisan jurulatih yang berikan kata akhir pemain itu sesuai atau tidak bersama pasukan.

“Jurulatih juga boleh uji pemain tersebut dalam beberapa perlawanan persahabatan untuk pastikan mereka betul-betul boleh memberikan impak bersama skuad kebangsaan. Pada saya tidak boleh ambil (pemain naturalisasi) dan terus beraksi pada kejohanan,” katanya kepada Bernama.

Pada masa sama, Sathianathan menegaskan program naturalisasi kelolaan FAM wajar diteruskan tatkala keberkesanan program itu kini dipertikai susulan prestasi tidak memberangsangkan tiga pemain naturalisasi negara pada kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 baru-baru ini.

“Program ini masih belum gagal sehingga kita dapat layak ke Piala Asia, meskipun jika tidak layak apakah kegagalannya? Mungkin kegagalan itu adalah kita tidak pernah betul-betul memilih pemain yang sesuai untuk digunakan oleh pasukan,” kata Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM) itu.

Sehingga kini, FAM telah menaturalisasikan tiga pemain iaitu Mohamadou Sumareh dari Gambia, Liridon Krasniqi (Kosovo) dan Guilherme De Paula (Brazil) dalam merealisasikan misi skuad kebangsaan layak ke pusingan akhir Piala Asia 2023.

Jumlah itu mungkin bertambah dalam masa terdekat apabila dua pemain import Liga Malaysia (Liga-M) antaranya tonggak Johor Darul Ta’zim (JDT), Gonzalo Cabrera dan Endrick Dos Santos (Penang FC) kini dikaitkan bakal menjadi pemain naturalisasi terbaharu pasukan negara.

Sementara itu, Sathianathan berkata segala kekurangan dan kelemahan skuad kebangsaan dalam perlawanan berintensiti tinggi seharusnya dipandang serius dan usaha mengatasi perkara tersebut perlu dibuat seawal peringkat akar umbi.

“Kita kena belajar daripada apa-apa kesilapan kita, benda-benda (kelemahan dan kekurangan) macam ini kena bawa ke NFDP (Program Pembangunan Bola Sepak Negara) atau akademi bola sepak untuk kita ajar dan betulkan kepada pemain muda,” jelas beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast