Human Resources HRM Working for Workers WFH work from home employees threatened to work employers EMCO
M. Saravanan

PUCHONG – Kementerian Sumber Manusia melalui Jabatan Tenaga Kerja (JTK) telah mengeluarkan kompaun berjumlah RM1. 2 juta kepada pengusaha kilang dan majikan yang gagal mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Penuh sejak 1 Jun lalu.

Angka itu membabitkan sebanyak 123 majikan dan 12 individu yang dikesan melanggar pelbagai SOP yang disyaratkan Majlis Keselamatan Negara, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan.

Menurutnya, sejak mendapat penurunan kuasa dari Kementerian Kesihatan (KKM) untuk mengeluarkan kompaun, sebanyak 1,175 pemeriksaan dijalankan bagi memastikan para pengilang mematuhi SOP yang ditetapkan.

“Sepanjang pemeriksaan ketat itu, antara kesalahan yang sering dilakukan oleh majikan yang dapat kita kesan secara ketara adalah mereka tidak mematuhi arahan Bekerja Dari Rumah (BDR) dengan mengarahkan pekerja datang ke tempat kerja sehingga 60 hingga 80 peratus berbanding 30 hingga 40 peratus yang syaratkan kerajaan sepanjang tempoh PKP Penuh ini,” katanya.

Beliau terdahulu mengadakan pemeriksaan ketat ke kilang pengeluar roti terkemuka tempatan dalam Operasi Pematuhan Akta 342 dan Akta 514 di sini hari ini.

Tambah Saravanan, kesalahan serius lain yang dikenal pasti sepanjang tempoh pemantauan SOP terhadap majikan di seluruh negara mendapati ada dalam kalangan mereka bertindak berani memalsukan maklumat bagi memohon kebenaran beroperasi sebagai perkhidmatan penting.

Katanya, premis kilang yang didapati memalsukan dokumen dengan membuat pengvisytiharan palsu telah diambil tindakan menutup operasi serta merta.

Saravanan dalam perkembangan sama memberi amaran kepada para pengusaha industri agar mematuhi SOP kerana Jabatan Tenaga Kerja akan terus melakukan operasi penguatkuasaan secara agresif agar jangkitan kluster Covid-19 di tempat kerja dikawal.

Beliau juga memberi amaran keras jika kegagalan pematuhan SOP oleh majikan berterusan tanpa penyelesaian dan kerajaan tidak akan teragak-agak menarik balik kebenaran beroperasi kepada semua kilang-kilang yang berkenaan.

“Mungkin kalau budaya ini berterusan, kerajaan tiada pilihan lain terpaksa tutup semula operasi. saya beri amaran kepada mereka jangan memaksa kerajaan ke arah tindakan itu,” tegasnya.

Sementara itu Saravanan berkata, kerajaan sedang mengkaji cadangan supaya bayaran levi untuk pekerja asing dipindahkan kembali kepada majikan untuk menanggung kos ujian swab pekerja asing mereka.

“Ini supaya ia boleh digunakan untuk saringan lebih kerap. Saya telah cadangkan kepada Menteri Kewangan, tunggulah keputusan beliau,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast