KUALA LUMPUR – Kontraktor-Kontraktor G1 dan G2 di bawah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang dibenarkan beroperasi berkuatkuasa serta-merta kini boleh mendapatkan kebenaran melalui sekatan jalan raya (SJR).
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, selepas mengambil maklum keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini kontraktor terlibat boleh hadir di balai-balai polis berhampiran untuk tujuan permohonan untuk mendapatkan kebenaran daripada polis.
“Namun setiap permohonan mereka kepada PDRM perlu dikembarkan atau dilampirkan dengan dokumen pendaftaran syarikat daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan dokumen bukti projek yang akan dijalankan oleh mereka nanti.
“Surat kebenaran yang akan dikeluarkan PDRM (selepas penelitian dokumen bukti permohonan) adalah tertakluk kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) semasa bagi mengekang penularan wabak Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, menurut beliau, bagi pekerja sendiri seperti tukang paip, penyelenggara atau penjaja tepi jalan yang tiada majikan, permohonan untuk bergerak hendaklah diperolehi daripada polis secara one off .
“Bagi mereka yang mempunyai dokumen kebenaran yang telah pun diperolehi sebelum ini, ia masih terpakai,” ujar beliau. – MalaysiaGazette