Pekerja sektor laut dan pelabuhan hadir bagi mendapatkan suntikan vaksin semasa di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Sektor Pengangkutan (Maritim) Pelabuhan Klang sempena Hari Pelaut Sedunia 2021 ketika di Dewan Serbaguna Kelab Sukan Lembaga Pelabuhan Klang, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 25 JUN 2021.

KLANG – Peningkatan jumlah vaksinasi harian bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) merupakan bukti jelas komitmen kerajaan memastikan rakyat dapat mencapai imuniti kelompok menjelang akhir tahun ini.

Terbaharu, lebih 51,000 pekerja sektor pengangkutan membabitkan laut, darat dan udara dijadual menerima vaksin secara berfasa mulai hari ini.

Tinjauan MalaysiaGazette di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Sektor Pengangkutan Maritim di sini mendapati orang ramai mahu jumlah dos vaksin terus dipertingkatkan di negara ini.

Penasihat Kesihatan Westport Malaysia Pelabuhan Klang, Dr. Meena Kumar. Foto MOHD ADZLAN, 25 JUN 2021.

Penasihat Kesihatan Westport Malaysia Pelabuhan Klang, Dr. Meena Kumar berkata, sekiranya rakyat dapat mencapai imuniti kelompok secepat mungkin maka lebih ramai yang akan mendapat perlindungan daripada jangkitan terutama golongan warga emas dan berisiko tinggi.

“Sejujurnya, virus ini sudah lama berada dalam kalangan kita dan mungkin akan kekal lama, jadi imuniti kelompok merupakan satu-satunya jalan untuk kita terus ke hadapan.

“Saya juga gembira kerana kerajaan melakukan apa sahaja dalam usaha mempromosi dan menggalakkan proses vaksinasi secepat yang mungkin,” katanya ketika ditemui di Dewan Serbaguna Kelab Sukan Lembaga Pelabuhan Klang di sini hari ini.

Dalam masa sama, Dr Meena Kumar turut bersetuju bahawa Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang dirangka hanya mampu dicapai mengikut jangkaan fasa berperingkat apabila rakyat mula dilindungi imuniti kelompok.

Beliau turut mencadangkan supaya pemberian vaksin diperluas kepada golongan kanak-kanak.

“Ini kerana kanak-kanak turut terdedah kepada risiko jangkitan, mereka memang dilihat sihat tetapi boleh membawa virus ini,” ujarnya.

Kakitangan Westport, Itdinaz Wardi Nasrul Mahyudin. Foto MOHD ADZLAN, 25 JUN 2021.

Sementara itu, seorang kakitangan Westport, Itdinaz Wardi Nasrul Mahyudin, 39, berkata, inisiatif kerajaan memperluaskan program vaksinasi kepada pekerja di Pelabuhan Klang merupakan satu langkah tepat.

Menurutnya, rata-rata pekerja di pelabuhan sememangnya terdedah kepada pelbagai risiko jangkitan penyakit kerana perlu berhadapan dengan orang ramai.

“Bagus juga sebenarnya apabila pekerja di Pelabuhan Klang ini mula menerima suntikan kerana setiap hari kami perlu bertemu ramai orang dan pengoperasian pula 24 jam.

“Jadi bila sudah terima vaksin ini rasa lebih selamat ketika menjalankan tugas,” katanya.

Kerani Operasi Northport, Safarin Ibrahim. Foto MOHD ADZLAN, 25 JUN 2021.

Manakala kerani operasi Northport, Safarin Ibrahim, 36, berpendapat rakyat perlu memberikan sokongan terhadap program vaksinasi yang digerakkan oleh kerajaan ketika ini.

“Orang ramai sepatutnya kena ambil vaksin menerusi program yang dijalankan oleh kerajaan kerana kita seboleh-bolehnya mahu kembali kepada kehidupan normal, tidak lagi mengenakan pelitup muka dan boleh keluar ke pusat beli-belah seperti biasa atau pulang ke kampung.

“Bagus apabila jumlah pemberian vaksin ditingkatkan tak kisah sama ada ia Sinovac, AstraZeneca mahu pun Pfizer bagi saya mana-mana pun bagus dan yang paling penting rakyat perlu yakin dengan apa yang telah dilakukan oleh kerajaan,” katanya.

Pembantu Tadbir Westport, Nur Ajriena Amran. Foto MOHD ADZLAN, 25 JUN 2021.

Bagi pembantu tadbir Westport, Nur Ajriena Amran, 27, langkah kerajaan memperluaskan pemberian vaksinasi kepada sektor-sektor perkhidmatan penting seperti maritim wajar diberi pujian.

Jelasnya, dia kini boleh menarik nafas lega apabila selesai menerima dos pertama suntikan vaksin.

“Peluang yang diberikan sangat berharga lebih-lebih lagi saya bekerja dalam perkhidmatan penting seperti ini, jadi saya nak ucap terima kasih kepada kerajaan yang telah memberikan peluang ini kepada kami.

“Mungkin lepas ini kita sudah boleh melancong ke luar negara dan yang paling penting tidak perlu lagi pakai pelitup muka serta rasa lebih selamat untuk bertemu orang ramai,” ujarnya.

Sehingga semalam, jumlah pemberian vaksin harian merekodkan kadar tertinggi apabila hampir 270,000 dos vaksin Covid-19 sudah diberikan dengan keseluruhan kini mencecah lebih 6.8 juta dos. – MalaysiaGazette