KUALA LUMPUR – Majlis Presiden Pakatan Harapan (MPPH) berpendirian, darurat yang diisytiharkan pada 11 Januari lalu, tidak perlu disambung selepas tamat 1 Ogos ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan bersama pemimpin tertinggi PKR, Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP, darurat yang dilaksanakan lebih lima bulan itu tidak memberi sebarang kesan kepada usaha kerajaan mengekang penularan pandemik Covid-19.
Malah, menurut Pengerusi MPPH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Proklamasi Darurat perlu ditamatkan segera kerana bukti sains dan data menunjukkan keadaan pandemik semakin meruncing dan bertambah teruk.
“Sejak darurat diisytihar pada 11 Januari lalu, jumlah kes positif dan kematian harian kekal tinggi.
“Jadi, MPPH menjunjung kasih di atas titah pandangan Raja-Raja Melayu berkaitan isu darurat ini seperti terkandung dalam kenyataan media Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja 16 Jun lalu, iaitu “tidak ada keperluan meletakkan negara di bawah pemerintahan darurat selepas 1 Ogos 2021”.
“Tambahan pula Jawatankuasa Khas Bebas Darurat yang ditubuhkan kerajaan, akan mengadakan mesyuarat terakhir pada Julai ini,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Kenyataan bersama itu turut ditandatangani Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Kit Siang.
Menurut Anwar, dalam mesyuarat jawatankuasa khas itu, wakil Pakatan Harapan (PH) akan menegaskan bahawa jawatankuasa itu perlu menjunjung titah pandangan Raja-Raja Melayu berhubung isu darurat.
Katanya, jawatankuasa khas itu juga perlu menerima bukti sains dan data bahawa darurat tidak memberi kesan kepada usaha pengawalan pandemik Covid-19 dan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk tidak melanjutkan darurat selepas 1 Ogos ini.
Ujar beliau, Jawatankuasa Khas Bebas Darurat itu juga akan tamat fungsinya dan terbubar selepas 1 Ogos ini. – MalaysiaGazette