Penyerahan disempurnakan Timbalan Menteri Pertanian (I), Datuk Seri Ahmad Hamzah kepada Yang DiPertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya, Datuk Shadan Othman.

KUALA LUMPUR – Sejumlah tiga tan ayam sejuk beku yang dirampas Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) disumbangkan kepada Zoo Melaka hari ini.

Mnerusi kenyataan MAQIS memaklumkan, pemberian itu adalah daripada rampasan yang bernilai RM27,270 dan merupakan bekalan makanan yang datangnya dari negara Thailand.

Penyerahan disempurnakan Timbalan Menteri Pertanian (I), Datuk Seri Ahmad Hamzah kepada Yang DiPertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya, Datuk Shadan Othman.

Turut menyaksikan acara penyerahan itu Pengarah Bahagian Dasar dan Perancangan MAQIS, Siti Nur Ahmad dan Pengarah MAQIS Negeri, Nora Dinah Abdul Rahman.

Kesemua ayam sejuk beku itu ditahan semasa cuba dibawa masuk ke Malaysia melalui pengkalan haram tebing Sungai Golok di Rantau Panjang, Kelantan.

Berdasarkan pemeriksaan ia didapati tidak memiliki dokumen seperti permit import MAQIS, sijil kesihatan veterinar dan sijil halal.

“MAQIS komited melaksanakan tanggungjawab sosial untuk membantu dan memberi sumbangan kepada pihak yang memerlukan seperti Zoo Melaka, selain tegas menguatkuasakan perlaksanaan undang-undang negara dalam memastikan isu-isu yang melibatkan aspek halal, keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak merbahaya yang boleh mengancam industri pertanian dan penternakan negara dapat dibendung serta dikawal di kesemua pintu masuk,” demikian menurut kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu lagi, inisiatif itui diharap dapat membantu pihak Zoo Melaka dari segi kelancaran operasi selain, menampung bekalan makanan untuk haiwan-haiwan dibawah jagaan mereka. – MalaysiaGazette