Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan menyediakan bantuan one-off sebanyak RM3,000 kepada lebih 5,300 agensi pelancongan berdaftar sebagai pendorong atau kick-start, apabila negara beralih ke fasa ketiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) kelak.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan juga telah bersetuju untuk menangguhkan pembayaran ansuran cukai pendapatan bulanan kepada syarikat dan mengecualikan cukai pelancongan dan cukai perkhidmatan kepada pengendali hotel sehingga akhir tahun ini.

Beliau berkata demikian ketika mengumumkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi di sini hari ini.

Menurut Muhyiddon, kerajaan juga akan mempertimbang peruntukan sewajarnya untuk memulih dan mempergiatkan semula aktiviti pelancongan apabila negara beralih ke fasa keempat PPN.

Dalam pada itu, perdana menteri menyarankan agar lebih banyak badan berkanun, syarikat milik kerajaan dan pihak berkuasa tempatan memberi kemudahan pengecualian dan menawarkan diskaun sewa, lesen atau menangguhkan bayaran komitmen bulanan.

”Seperti yang telah diumumkan sebelum ini, pemilik-pemilik bangunan dan ruang perniagaan yang menawarkan pengurangan sewa sekurang-kurangnya 30 peratus kepada peniaga dalam tempoh sehingga 31 Disember 2021 layak mendapat potongan khas cukai,” katanya. – MalaysiaGazette