Datuk Seri Abd Jalil Hassan. Foto HAZROL ZAINAL, 28 JUN 2021.

KUALA LUMPUR – Interpol telah menolak permohonan notis merah yang dikemukakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mendapatkan lelaki tempatan bernama Ganesparan Nadaraja.

Ganesparan dikehendaki dalam siasatan kes menghasut rakyat dan menghina pemimpin dan institusi diraja menerusi video bertajuk Rasis Vaccine Malaysia.

Bagaimanapun, proses rayuan akan dikemukakan semula kepada Interpol untuk membolehkan pihak berkuasa antarabangsa itu  mengeluarkan notis merah yang diperlukan untuk mendapatkan individu itu yang kini bebas di Jerman.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Komisioner Datuk Seri Abdul Jalil Hassan berkata, permohonan notis merah telah dibuat PDRM melalui surat bertarikh 22 Disember 2020 kepada Interpol.

“Jadi nak kata Interpol ini tak layan pun (permohonan) kami pun tak tahu apa statusnya disebabkan mereka mengatakan hak bersuara bagi orang ramai terpelihara dan tidak boleh dicampuri.

“Permohonan kami ditolak oleh Interpol dengan merujuk kepada Artikel 3 Perlembagaan dan Peraturan Interpol yang menyebut bahawa organisasi adalah dilarang campur tangan berkaitan watak politik, ketenteraan, agama dan kaum dalam mengeluarkan sesuatu notis merah ke atas mana-mana individu yang dikehendaki pihak berkuasa sesebuah negara.

“Jadi apa-apa pun ini tidak akan melemahkan semangat PDRM untuk meminta Interpol mengeluarkan notis merah terhadap,'” kata beliau dalam sidang media Lawatan Kerja Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman ke Bahagian D3 dan Jenayah Berat D9 di Jalan Tun Razak pagi ini.

Artikel berkaitan: Bukit Aman siasat lelaki hasut, hina institusi diraja

Guna Interpol tangkap penghina raja di Jerman – Rani Kulup

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan terbaharu siasatan kes terhadap Ganesparan yang sedang disiasat di bawah Akta Hasutan 1948 kerana mengeluarkan kenyataan yang boleh mencetuskan perkauman dan kegusaran awam.

Tambah Abdul Jalil, Bukit Aman tidak akan berputus asa dalam usaha mendapatkan serta membawa pulang individu berkenaan  untuk dihadapkan ke muka pengadilan secepat mungkin.

Menurut beliau, PDRM akan terlibat dalam usaha meyakinkan Interpol untuk mengeluarkan notis merah ke atas Ganesparan dengan mengambil kira faktor dan persekitaran budaya rakyat di negara Malaysia.

Abdul Jalil juga menegaskan tindakan Ganesparan mengeluarkan kenyataan tersebut adalah tidak berasas.

Abdul Jalil menerusi kenyataannya baru-baru ini berkata,  tindakan Ganesparan yang mengeluarkan kenyataan yang berkecenderungan menghasut, berbaur perkauman, bersifat jelik terhadap institusi diraja dan kerajaan adalah tidak bertanggungjawab serta tidak berasas yang boleh menyebabkan kegentaran awam serta menggugat keamanan negara.

Lelaki itu telah memuat naik sebuah video berkenaan melalui akaun facebook Ganesparan Nadaraja pada 25 Jun lalu.

Ganesparan mendakwa vaksin berkualiti rendah dan tidak berkesan dari China jenama “Sinovac” telah diberikan kepada golongan bukan Muslim manakala Muslim diberikan vaksin berkualiti tinggi jenama “Pfizer”.

Rentetan penularan video berbaur hasutan itu, siasatan telah dimulakan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian Pendakwaan/Undang-undang (D5), JSJ Bukit Aman di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 kerana mengeluarkan kenyataan yang mempunyai kecenderungan menghasut, seksyen 505(b) kanun keseksaan iaitu kenyataan yang mungkin menyebabkan kegentaran awam.

 

-MalaysiaGazette

2 Komen

  1. X payah ssh² nk tangkap barua musibat paria tu, lucutkan jer kerakyatan dia buat apa lg nk simpan org mcm tu..lantak apa dia nk ckp satu hari nt tau lah dia langit tinggi ke rendah..

Comments are closed.