KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia memberi peringatan kepada orang ramai supaya tidak menyiarkan video yang mengajak mereka berhimpun semasa Fasa pertama (I) Kawalan Pergerakan di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) dilaksanakan.
Peringatan itu dilakukan berikutan Bukit Aman mengesan rakaman video berdurasi dua minit 40 saat di laman media sosial yang mengajak orang ramai untuk berkumpul di beberapa lokasi pada jam 12 tengahari Rabu ini.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Komisioner Datuk Zainal Abidin Kassim berkata, aktiviti sosial yang boleh menyebabkan ramai orang hadir di suatu tempat sehingga menyukarkan penjarakan fizikal tidak dibenarkan.
Menurut beliau, PDRM akan mengambil tindakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) ke atas mana-mana pihak yang dikesan melanggar prosedur operasi standard (SOP) dengan menganjur atau menyertai sebarang perhimpunan pada Fasa pertama (I) Kawalan Pergerakan di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN).
“Orang ramai dinasihati untuk tidak menyebarkan apa jua bahan yang boleh mengajak orang ramai melanggar SOP Majlis Keselamatan Negara yang mana boleh mengakibatkan penularan wabak covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zainal Abidin meminta orang ramai untuk terus mematuhi SOP dan bersama-sama memainkan peranan dalam usaha kerajaan untuk melandaikan keluk penularan wabak Covid-19. -MalaysiaGazette