Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin bercakap pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Tanjong Karang di Institut Pengurusan Peladang Tanjong Karang, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 28 JUN 2021.

TANJONG KARANG – Kementerian Sains, Teknologi dan Invoasi (MOSTI) mengesahkan Kerajaan Negeri Selangor sudah memulakan penjualan vaksin Covid-19 kepada pihak industri di negeri itu, bermula semalam.

Menterinya, Khairy Jalamuddin Abu Bakar berkata, penjualan vaksin yang melalui aplikasi SELangkah itu bagaimanapun dilakukan secara program rintis sebelum dilakukan secara meluas.

“Selangor minta supaya dapat dibuat secara perintis, dia nak tengok dia punya sistem, dia nak tengok perjalanan lancar atau tidak.

“Sebab itu kita lepaskan dulu sikit kepada Selangor untuk mulakan (Program Vaksin Covid-19 Selangor).

“Saya difahamkan semalam dia (Selangor) mulakan di satu Pusat Pemberian Vaksin (PPV). Tak mengapa, ini memang untuk membantu PICK juga.

“Selebihnya akan mula selepas Kerajaan Persekutuan dapat penghantaran sepenuhnya daripada Sinovac,” katanya pada sidang media di Institut Pengurusan Peladang Tg Karang, di sini, hari ini.

Semalam tular di media sosial seorang individu yang mendakwa mendapat suntikan dos pertama vaksin Covid-19 jenis Sinovac dengan harga RM350 melalui aplikasi SELangkah.

SELangkah merupakan aplikasi mengesan jangkitan dan vaksinasi Covid-19 yang dibangunkan Kerajaan Negeri Selangor.

Dalam pada itu, Khairy mengingatkan pembekal vaksin Sinovac, Pharmaniaga Berhad agar mengutamakan bekalan vaksin kepada Kerajaan Persekutuan sebelum menjual kepada pihak lain.

“Saya dimaklumkan Menteri Besar, Selangor nak beli daripada Pharmaniaga yang juga jadi pembekal kepada kerajaan pusat kepada PICK.

“Saya kata dia (Pharmaniaga) selesaikan sepenuhnya kepada PICK, selepas itu bolehlah menjual kepada sama ada Selangor, atau negeri-negeri lain mahupun syarikat-syarikat swasta,” katanya.

Ditanya tentang bayaran tinggi yang dikenakan Kerajaan Negeri Selangor sehingga RM350 bagi kedua-dua dos vaksin Sinovac itu, beliau bagaimanapun enggan mencampuri perkara tersebut.

“Wallahuaklam itu, Selangor punya keputusan, saya tak tetapkan harga, mereka yang buat keputusan.

“Sebab perjanjian itu non disclosure agreements, jadi kita tak dapat nak umumkan, tapi tak ada lah sampai RM350,” katanya lagi. – MalaysiaGazette