Kanak-kanak orang asli suku Temuan mengulang kaji pelajaran di hadapan rumahnya dengan mengambil kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di rumah (PdPR) berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kampung Orang Asli Bukit Bandaraya, Seksyen 8, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 14 JUN 2021.

ISU PdPR menjadi perbincangan semua pihak tidak kita mereka yang terlibat dalam bidang pendidikan atau sebaliknya, samada pihak kerajaan atau pembangkang. Semua bersetuju isu ini perlu ditangani dengan sebaiknya demi nengelak keciciran murid. Data kajian menunjukkan keberkesanan PdPR khususnya berkait dengan kehadiran murid tidak mencapai 80 %. Ini merupakan cabaran utama yang dihadapi oleh guru ketika mengendalikan proses PdPR. Guru- guru juga berdepan dengan kekangan persediaan dalam menjalankan PdPR khususnya yang tidak mahir ICT, berada di lokaliti akses internet yang rendah dan menangani kerenah anak murid yang terdiri dari pelbagai latar belakang sosio ekonomi. Ini menimbulkan masalah lain seperti isu kesihatan mental iaitu tekanan emosi, kemurungan dan depresi.

Isu lain yang terkait ialah apakah usaha pihak kerajaan bagi memastikan capaian jalur lebar diperluaskan untuk memastikan kaedah pengajaran secara dalam talian berkesan. Pengagihan peranti seperti yang dijanjikan oleh pihak KPM perlu dilunaskan secepat yang mungkin tanpa menanti tempoh yang lama . Setakat Jun 2021 hanya 40,290 alat peranti telah diagihkan kepada murid dari B40 melalui kerjasama syarikat GLC dan korporat. Langkah proaktif dan agresif ini penting bagi menjamin semua murid tidak tercicir pendidikan khususnya dari kelompok rentan.

Perkara seterusnya , usaha vaksinasi kepada warga guru agar sekolah dapat dibuka semula untuk sesi pembelajaran secara bersemuka. Kajian yang dijalankan oleh NUTP menunjukkan guru- guru lebih yakin dengan pembelajaran secara bersemuka. Justeru untuk memastikan sekolah tidak menjadi kluster jangkitan wabak, usaha vaksinisasi guru perlu diperhebatkan dan diperluaskan. Sekolah boleh dijadikan pusat vaksinisasi bukan sahaja untuk warga guru tetapi untuk pelajar- pelajar yang bakal menduduki peperiksaan SPM. Kita berterima kasih kerana Mosti membenarkan murid seusia 12 tahun menerima suntikan vaksin. Pemberian vaksin ini akan memberikan sinar harapan agar sekolah dapat dibuka awal sebagaimana di negara-negara Eropah.

KPM perlu menilai dan membentangkan kajian berhubung keberkesanan PdPR. Berapa peratus murid mengikuti PdPR, berapa peratus guru yang telah menjalankan PdPR, apa kaedah yang telah digunakan, apakah bentuk pentaksiran untuk menguji penguasaan murid semasa PdPR. Ini kerana dari rungutan murid semasa PdPR seperti lambakan kerja rumah, jadual yang padat, tempoh masa yang lama di skrin, kaedah pengajaran guru yang kurang menarik serta suasana persekitaran di rumah yang kurang efektif. Usaha kerajaan mengadakan saluran Didik TV bagi menangani isu PdPR ini diharap dapat menangani isu- isu yang berbangkit sebelum ini khususnya yang menghadapi isu akses internet dan alat peranti kerana 97 peratus rakyat Malaysia memiliki televisyen. Apa yang penting ialah siaran Didik TV perlu ditambah baik dari sudut persembahan dan pengisian supaya sampai kepada sasaran.

Perkara seterusnya ialah sokongan ibubapa dalam memastikan anak- anak di rumah  dapat mengikuti PdPR. Tidak dapat dinafikan ibubapa mempunyai latar belakang yang berbeza, ada yang berpendidikan dan tidak berpendidikan tinggi, ada yang sosioekonomi baik dan ada tidak, ada yang kategori bandar dan luar bandar. Ini semua mempengaruhi keberkesanan PdPR. KPM perlu menyediakan satu manual pelaksanaan PdPR khususnya bagi ibubapa untuk membantu mereka memantau anak- anak di rumah. Apa yang boleh mereka lakukan ketika mereka berada di rumah atau mungkin bila berada di tempat kerja. Hal ini penting bagi mengelak isu 3M ( membaca/ mengira/ menulis) khusus bagi anak- anak pra sekolah , tahun 1 dan 2. Jika tidak dapat di atasi isu literasi dan numerasi ini kita akan berdepan dengan generasi murid yang tercicir pendidikan serta membantutkan pertumbuhan dan perkembangan kognitif, afektif dan psikomotor. Perlu segera bertindak sebelum nasi menjadi bubur.

Aspek kesihatan mental murid- murid juga perlu diberi perhatian. Antara kesan langsung PdPR ialah gejala kemurungan, kebimbangan dan tekanan. Kajian mereka yang pakar dalam bidang psikiatri mendapati peratus murid yang mengalami isu kesihatan mental semasa PdPR semakin meningkat. Tinjausn mendapati 35-40 peratus murid mengaku PdPR memberi kesan negatif kepada kesihatan mental. Di sinilah ibubapa dengan kerjasama para guru khususnya guru- guru kaunseling wajar berbincang, berkolaborasi mencari solusi terbaik bagi memastikan aspek kesihatan mental ini diberi perhatian.

Kita tidak dapat mengagak bilakah kita akan dapat kembali kepada sistem pembelajaran secara bersemuka atau kita akan kekal dengan cara ini (PdPR). Tempoh masa lama PdPR membolehkan kita merancang pengajaran dan pembelajaran dengan lebih baik namun kita juga terpaksa berdepan risiko  yang lain juga. Kita tiada pilihan lain, yang menentukan kita berjaya ialah jika kita mengubah sikap dan tindakan kita ke arah lebih baik .Semua pihak perlu berganding bahu bersama- sama, sehati sejiwa samada pihak kerajaan, guru, ibubapa, masyarakat demi menyelamatkan generasi ini dari keciciran pendidikan. Ia bukan sahaja satu tanggungjawab tetapi satu tuntutan dari Maqasid Syarak.

Mohd Azizee Hasan
Presiden i-Guru

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast