Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah sekali lagi menzahirkan pandangan sidang Parlimen perlu diadakan secepat mungkin perlu diambil serius kerajaan.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini adalah penegasan kali ketiga Agong dan kerajaan sudah tidak mempunyai ruang untuk melewat-lewatkan pembukaan sidang Parlimen.

“Ini penegasan kali ketiga dari Tuanku Agong tentang sidang Parlimen. Saya harap tidak ada lagi dalih dan tafsiran lain dari menteri, dan berhenti memperbodoh rakyat,” katanya di Twitternya hari ini.

Anwar merujuk kepada titah dua muka surat Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.

Seruan itu dizahirkan baginda ketika menerima menghadap Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun di Istana Negara hari ini.

Menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, pertemuan sejam itu adalah lanjutan daripada sesi Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu yang diadakan pada 16 Jun lalu.

“Baginda menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin dengan mengikut garis panduan dan prosedur operasi standard Covid-19 yang ditetapkan oleh kerajaan dan Parlimen.

“Ini bagi membolehkan Proklamasi Darurat dan Ordinan-ordinan Darurat yang telah dikeluarkan dapat dibentang di Parlimen seperti yang termaktub dalam Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan,” titah baginda.

Agong turut berpandangan bahawa semua Jawatankuasa Pilihan Parlimen ke-14 hendaklah meneruskan sesi mesyuarat pelaksanaan mekanisme semak dan imbang bagi menjamin tadbir urus yang telus, berintegriti dan bertanggungjawab, khususnya dalam menangani isu dasar awam dan kemasyarakatan serta hal ehwal kewangan dan perbelanjaan negara.

Dalam pada itu, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon berkata sidang Parlimen akan mula bersidang dalam masa terdekat.

Ia merupakan keputusan selepas sembah menghadap Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang berlangsung kira-kira sejam di Istana Negara hari ini. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Agong sekali lagi zahir pandangan mahu sidang Parlimen disegerakan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. harap tidak ada lagi dalih dan tafsiran lain dari menteri, dan berhenti memperbodoh rakyat,”Kerana saya adalah gurunya bercakap berbelit2 mungkir janji dan khianat manifeto rakyat…dan hanya berkira nombor2 Syok sendiri

Comments are closed.