APMM Pulau Pinang tahan kapal tangki New Laureal bersauh tanpa kebenaran di Pulau Kendi di sini semalam.

GEORGE TOWN – Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang menahan sebuah kapal tangki yang disyaki bersauh tanpa kebenaran pada kedudukan kira-kira 57 batu nautika barat daya Pulau Kendi di sini semalam.

Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, kapal tangki New Laureal yang berdaftar di Hong Kong itu ditahan pada jam 12 tengah hari berdasarkan maklumat pengesanan yang diterima daripada pesawat Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) ketika membuat rondaan udara Op Benteng Laut di sepanjang perairan Selat Melaka.

Katanya, susulan maklumat itu, Kapal Maritim Burau yang sedang melaksanakan rondaan Op Pertiwi diarahkan ke lokasi.

“Hasil pemeriksaan mendapati  kapal itu dikendalikan seramai 27 kru termasuk nakhoda terdiri daripada warga Korea Selatan, Filipina dan China.

APMM memeriksa dokumen kru kapal tangki tersebut.

“Selain itu, ketika pemeriksaan dilakukan, nakhoda kapal itu enggan memberi kerjasama, malah cuba melengah-lengahkan pemeriksaan selain melakukan provokasi ketika ditahan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abd Razak berkata, kesemua mereka memiliki dokumen pengenalan diri yang sah, namun nakhoda gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh serta gagal memaklumkan ketibaan di perairan Malaysia.

“Kapal itu dikatakan dalam perjalanan dari Terminal Fateh, Emiriah Arab Bersatu (UAE) ke Singapura.

“Nakhoda dan dua kru kemudian dibawa ke ibu pejabat Maritim Pulau Pinang bagi siasatan lanjut,” jelas beliau.

Kes disiasat mengikut Seksyen 491B(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 iaitu bersauh tanpa kebenaran Pengarah Laut Malaysia yang boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Mereka turut disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam dan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM 10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Mengulas lanjut Abd Razak turut mengingatkan semua pemilik kapal, nakhoda serta agen perkapalan supaya memastikan segala prosedur dan peraturan dipatuhi sebelum memasuki dan bersauh di perairan Malaysia selain memberi kerjasama penuh jika diminta bagi diperiksa.

“Tindakan secara ‘force boarding’ menggunakan helikopter akan dilakukan sekiranya pihak terbabit enggan memberi kerjasama termasuk menyabitkan kesalahan di bawah Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam melaksanakan tugas,” kata beliau. – MalaysiaGazette