KUALA LUMPUR – Kerajaan harus memandang serius dan bertindak mengatasi isu kesihatan mental yang membelenggu rakyat akibat daripada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
PKP 3.0 yang bermula sejak 1 Jun lalu dan disambung mulai semalam dengan nama Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara secara tidak langsung menambahkan lagi tekanan emosi rakyat yang kemudian mengambil jalan singkat meragut nyawa sendiri.
Justeru, Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Kelantan, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani berharap, kerajaan tidak melihat kejadian tragis yang semakin membimbangkan itu sebagai kes terpencil.
Beliau yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Gua Musang menjelaskan, melalui statistik Kementerian Kesihatan (KKM), daripada 48,000 panggilan telefon diterima setakat semalam, 6.89 peratus adalah pemanggil yang berdepan masalah tekanan emosi.
Katanya, pandemik Covid-19 dan PKP antara penyebab rakyat mengalami tekanan itu berikutan perubahan persekitaran kerja seperti perlu bekerja dari rumah, hilang punca pendapatan dan pekerjaan serta bimbang terhadap keselamatan diri.
“Statistik juga melaporkan 578 kes cubaan bunuh diri antara Januari hingga Jun, manakala statistik Befrienders Kuala Lumpur pula menunjukkan sebaliknya apabila terdapat peningkatan panggilan diterima daripada mereka yang mengalami kesusahan dan ingin bunuh diri pada April hingga awal Jun.
“Oleh itu, kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat perlu memainkan peranan dengan membantu KKM untuk sama-sama mengatasi masalah itu.
“Dalam Bajet 2021 hanya RM24 juta diperuntukan untuk kesihatan mental iaitu lebih satu peratus daripada keseluruhan peruntukan kesihatan, lebih rendah berbanding purata 2.1 peratus di peringkat antarabangsa,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berpandangan, banyak yang perlu dilakukan oleh kerajaan untuk pesakit mental ini, selain daripada memberikan rawatan, kaunseling dan penjagaan.
Kata Mohd Azmawi Fikri, selain sokongan dan bantuan anggota keluarga, kerajaan juga perlu terus menyediakan pelbagai jenis kemudahan untuk menangani masalah kesihatan mental.
“Tidak semestinya mereka adalah individu yang mempunyai sejarah penyakit mental kerana banyak juga kes melibatkan individu sihat mula berdepan masalah ini selepas pandemik Covid-19 menyerang Malaysia.
“Sudah tiba masanya kerajaan memperkenalkan sistem penilaian kesihatan mental berikutan peningkatan pelbagai isu berkaitan sejak kebelakangan ini termasuk yang melibatkan kesan PKP 3.0.
“Pemuda UMNO telah secara konsisten membangkitkan isu kesihatan mental dan psikososial yang memberi kesan di rumah, sekolah, tempat kerja yang secara umumnya turut mempengaruhi kesejahteraan masyarakat,” katanya.
Beliau menganggap penyakit mental sebagai ‘bom jangka’ yang boleh meletup pada bila-bila masa sekiranya tidak dikendalikan dengan berkesan. – MalaysiaGazette