Bursa Malaysia ringgit
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kaunter perbankan di Bursa Malaysia berada dalam zon negatif sepanjang sesi urus niaga pagi hari ini tetapi aliran menurun adalah terhad kerana pelabur telah mula menyerap pengumuman mengenai moratorium pinjaman terbaru, yang dijangka tidak banyak merugikan pendapatan bank.

Ketika dagangan berhenti rehat tengah hari, CIMB turun dua sen kepada RM4.59, Maybank dan Public Bank masing-masing susut satu sen kepada RM8.13 dan RM4.14 dan RHB Bank jatuh tiga sen kepada RMRM5.39.

Hong Leong Bank dan HLFG, kedua-duanya tidak berubah pada RM18.80 dan RM17.82.

Ahli ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Adam Mohamed Rahim berkata, memandangkan ia adalah kaedah ‘’pilihan’’, kesannya terhadap pendapatan bank tidak teruk berbanding dengan langkah moratorium menyeluruh tahun lepas.

“Moratorium akan menyebabkan pemampatan margin faedah bersih dan keuntungan yang lebih rendah bagi bank,” katanya kepada Bernama.

AmBank Research berkata berkenaan moratorium pinjaman terbaru itu, setakat ini masih terdapat kekurangan dari segi kejelasan sama ada faedah dibenarkan untuk terakru dan dikenakan untuk semua jenis pinjaman dan pembiayaan.

Sekiranya faedah tambahan dibenar untuk dikenakan caj, maka kerugian pengubahsuaian yang akan dilaporkan oleh bank pada suku ketiga tahun ini adalah minimum.

“Sebaliknya, jika faedah terakru diketepikan untuk semua sewa beli dengan kadar faedah tetap dan pinjaman peribadi untuk perbankan konvensional dan Islam, sama seperti pada tahun 2020, kerugian pengubahsuaian yang akan dilaporkan oleh bank pada suku ketiga 2021 akan lebih besar,” katanya dalam satu nota penyelidikan di sini.

Pada suku kedua 2020, jumlah bersih kerugian pengubahsuaian untuk bank ialah RM1.78 bilion.

“Sekiranya faedah terakru dikecualikan lagi pada pusingan ini, kerugian pengubahsuaian mungkin berbeza daripada suku kedua 2020 kerana ia sangat bergantung pada peratusan peminjam pinjaman individu yang memilih dan ketersediaan mana-mana dana kadar konsesi seperti Kemudahan Bantuan Khas (SRF)  Bank Negara Malaysia pada tahun 2020 untuk bank memberi pinjaman kepada peminjam.

“Manfaat daripada dana berkenaan (sekiranya ada) akan mengurangkan kerugian pengubahsuaian bank secara bersih,” katanya.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam mengumumkan satu lagi moratorium menyeluruh di bawah  Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH). – MAlaysiaGazette