Pemain JDT, Muhammad Safawi Rasid.

KUALA LUMPUR – Johor Darul Ta’zim (JDT) menafikan tuduhan yang dilemparkan oleh sesetengah pihak yang menuduh kelab itu sebagai punca penurunan prestasi yang dialami pemain sayap negara, Safawi Rasid.

JDT menerusi Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards menafikan tuduhan yang dilakukan oleh bekas pemain skuad kebangsaan, Datuk Jamal Nasir dan pemerhati bola sepak, Zakaria Ibrahim yang mengatakan kelab itu bertanggungjawan di atas prestasi kurang memberangsangkan Safawi ketika ini.

“Kami menyangkal dakwaan bekas pemain antarabangsa, Datuk Jamal Nasir dan pemerhati bola sepak, Zakaria Rahim bahawa Kelab Bolasepak JDT perlu bertanggungjawab di atas aksi hambar Safawi Rasid pada masa ini kerana beliau telah menunjukkan kemajuan yang baik susulan kecederaan yang dialami sebelum meninggalkan kelab untuk tugasan antarabangsa.

“Untuk rekod, Safawi mengalami kecederaan pada 13 Mac dan hanya kembali ke kesebelasan utama pada 16 April tetapi masih dalam proses pemulihan. Secara keseluruhan, Safawi telah menjaringkan dua gol, melakukan lima permulaan, tiga kali beraksi dari bangku simpanan dan bermain 364 minit sebelum ‘
international break.

“Untuk mengatakan bahawa intensiti latihan kepab perlu disalahkan adalah tidak tepat kerana kem latihan yang panjang oleh pasukan kebangsaan di mana pemain berada di sana dari 16 Mei – 16 Jun.

“Proses pemulihan dan kembali ke intensiti tinggi Safawi masih lagi berjalan sebelum international break. Safawi hanya kembali ke JDT seminggu sebelum saingan AFC Champions League (ACL), terbang terus ke Thailand dari Emiriah Arab Bersatu.

“Kelab ini akan membimbing Safawi kembali pulih sepenuhnya, sedia untuk bola sepak intensiti tinggi dan membina semula tahap keyakinan beliau dalam beberapa minggu akan datang,” kata Alistair.

Ketika beraksi bersama Harimau Malaya, Safawi hanya menjaringkan satu gol dalam tiga perlawanan yang dihadapi dimana beliau menyempurnakan sepakan penalti ketika menentang Thailand.

Dalam saingan ACL yang sedang berlangsung, Safawi kehilangan tempat dalam kesebelasan utama kepada pemain muda, Arif Aiman Hanapi. – MalaysiaGazette