Ebit Lew lewd pictures messages WhatsApp sexual harassment charges
Abdul Jalil Hassan

KUALA LUMPUR – Sebanyak 16,452 kes pecah rumah dilaporkan sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac 2020 hingga 27 Jun 2021.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abdul Jalil Hassan berkata, angka ini adalah rendah berbanding tempoh sama iaitu 469 hari sebelum pelaksanaan PKP 1.0 iaitu sebanyak 20,785 kes jenayah pecah rumah, penurunan 4,423 kes atau 21.2 peratus.

“Keadaan ini adalah disebabkan kesan pelaksanaan PKP 1.0 yang menyaksikan kehadiran pasukan keselamatan dan penguatkuasa yang membuat rondaan secara berkala serta kekerapan yang tinggi di banyak lokasi di seluruh negara bagi menjalankan pemantauan prosedur operasi standard (SOP)

“Tindakan ini sekali gus berjaya mengurangkan ruang kepada berlakunya aktiviti jenayah serta menghalang pelaku-pelaku jenayah untuk melakukan jenayah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, kata beliau, peningkatan jenayah pecah rumah dilihat berlaku semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan secara berperingkat iaitu mulai 4 Mei sehingga 10 Jun 2020 apabila syarat penguatkuasaan PKP dilonggarkan yang membenarkan pergerakan.

Menurut Abdul Jalil, sebanyak 1,167 kes pecah rumah dicatatkan sepanjang tempoh PKPB berbanding 1,063 kes bagi tempoh yang sama sebelum PKPB, peningkatan 104 kes atau 9.8 peratus.

“Sepanjang tempoh PKP (18 Mac 2020 sehingga 27 Jun 2021), usaha mengesan dan menangkap penjenayah terus digiatkan oleh PDRM di seluruh negara dan hasilnya kita berjaya memberkas seramai 5,518 orang bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

“Daripada jumlah tersebut seramai 3,572 orang merupakan individu tiada pekerjaan tetap berdasarkan rekod maklumat yang diperolehi semasa tangkapan dijalankan dan bagi mengekang penularan Covid-19,” ujarnya. -MalaysiaGazette