Faiz Fadzil

KUALA LUMPUR – Keputusan melanjutkan lagi tempoh Perintah Kawalan Pergerakan atau Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara ke suatu tarikh yang tergantung bukan sahaja melumpuhkan ekonomi  tetapi juga menyukarkan urusan kehidupan rakyat.

Ini kerana segala urusan hidup rakyat terhenti dengan penutupan banyak sektor ekonomi dan perkhidmatan termasuk perkhidmatan awam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Faiz Fadzil mendakwa, walaupun 20 peratus penjawat awam dibenarkan bekerja secara fizikal dan selebihnya dari rumah (BDR) tetapi banyak urusan kritikal tidak dapat dijalankan.

“Walaupun sesetengah sektor kerajaan ini tidak tergolong dalam barisan hadapan, namun ada sektor kritikal dengan urusan rakyat yang perlu diberikan perhatian khusus bagi memastikan penyampaian perkhidmatan yang berkesan.

“Beberapa contoh urusan rakyat yang kritikal pada pandangan saya ialah pendaftaran sijil lahir dan kad pengenalan yang tertangguh serta banyak temujanji dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dibatalkan.

“Ini secara tidak langsung melambatkan perolehan dokumen sah yang merupakan instrumen penting urusan rakyat,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Selain itu, kata Faiz, pembayaran kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang terlibat dengan perbekalan atau kontrak kerajaan juga mengalami kelewatan yang pasti menjejaskan aliran tunai mereka.

Begitu juga urusan jual beli hartanah turut tertangguh kerana urusan pendaftaran dokumentasi di Pejabat Tanah tidak dapat dijalankan yang boleh merugikan pembeli dan tuan tanah.

Menurut beliau, walaupun pinjaman diluluskan, tetapi proses pindah milik tergendala kerana urusan dengan sektor kerajaan berkaitan tertangguh.

“Hak rakyat dari sudut undang-undang baik sivil dan syariah juga tertangguh dengan urusan mahkamah yang terbatas dan ini menjejaskan tuntutan yang perlu diselesaikan segera.

“Penangguhan penyelesaian kes melibatkan tuntutan hak ini seperti nafkah anak boleh meningkatkan tekanan hidup kepada rakyat dan kebimbangan ini adalah besar dengan jumlah kes bunuh diri yang sudah mencecah 270 kes,” katanya.

Faiz berkata, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kenyataan 6 Julai 2020 memaklumkan cara kerja pentadbiran kerajaan perlu diubah, seharusnya penekanan diberikan bagi meningkatkan mutu perkhidmatan BDR.

“Walaupun kerajaan menetapkan BDR, seharusnya memperuntukkan insentif khusus kepada penjawat awam yang terlibat dengan urusan kritikal seperti di JPN. Apakah polisi dan kaedah digunakan ini benar-benar berjalan dengan berkesan?

“Pegawai kerajaan bersedia memberikan perkhidmatan terbaik, namun polisi dan kaedah yang berkesan perlu ditetapkan kerajaan. Sepatutnya, kerajaan boleh menjangkakan situasi ini jika PKP penuh dilaksanakan semula dan membuat persediaan rapi bagi membolehkan urusan kritikal rakyat tidak terjejas.

“Kerajaan tidak boleh hanya mengambil jalan mudah mengawal penularan wabak Covid-19 dengan hanya melaksanakan PKP penuh, sedangkan tiada persediaan tersusun untuk memastikan urusan hidup rakyat yang kritikal terus berjalan tanpa gangguan,” katanya.

Jelas beliau, urusan hidup rakyat pula tidak boleh diselesaikan segera selepas tamatnya PKP3.0 jika mutu BDR tidak dipertingkatkan kerana lambakan urusan atau kes akan bertambah akibat penangguhan yang berlaku sepanjang total lockdown ini.

Kerajaan juga perlu segerakan PKP bersasar supaya sektor perkhidmatan dan kerajaan berjalan semula dengan fasiliti kalis pandemik di pejabat kerajaan disediakan bagi memastikan keselamatan serta kesihatan rakyat terjamin.

“Dalam melaksanakan PKP penuh ini, kerajaan menerusi MKN seharusnya mengadakan konsultasi dengan semua pihak berkepentingan dan pemegang taruh supaya urusan kritikal rakyat berjalan seperti biasa dan ekonomi tidak terjejas.

“Sebagai contoh, penangguhan urusan pindah milik hartanah dan kes di mahkamah telah menjejaskan pendapatan firma guaman yang bukan sahaja melumpuhkan ekonomi, tetapi menyebabkan kehilangan pekerjaan terus meningkat.

“Kelemahan kerajaan memastikan urusan kritikal hidup rakyat ini berjalan dengan berkesan dan tidak adanya persediaan tersusun berhadapan PKP3.0 merupakan bukti kerajaan PN gagal,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast