Parlimen Malaysia menyaksikan pertukaran tiga kerajaan dalam tempoh tiga tahun selepas BN kalah PRU14.

MAJLIS Raja-Raja pada 16 Jun 2021 telah membuat keputusan bahawa sidang Parlimen perlu diadakan secepat mungkin. Akan tetapi, tarikh persidangan Parlimen masih belum ditentukan lagi dan negara masih berada di dalam keadaan darurat sehingga 1 Ogos 2021. Bulan Jun 2021 menandakan Malaysia sudah berada di bulan keenam pengisytiharan darurat dan Malaysia sudah berada di bulan ke 15 penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac 2020 yang lalu.

Pada awalnya, kerajaan telah berjaya mengawal penularan gelombang kedua wabak Covid-19 menjelang Mei 2020.  Menjelang Jun 2020, kes harian Covid-19 jatuh ke hanya satu angka dan kerajaan telah mengumumkan PKP Pemulihan bagi menjana semula ekonomi bagi kemakmuran negara.

Halangan rentas daerah dan negeri ditarik balik dan segalanya hampir normal pada ketika itu untuk rakyat dan negara. Akan tetapi gelombang ketiga wabak ini menerpa setelah Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah berakhir tidak lama dahulu dan menjadi semakin tidak terkawal menjelang Januari 2021.

Bagi memastikan semua pihak, pemerintah dan pembangkang serta rakyat dapat bekerjasama dalam menangani masalah Covid-19, Yang di-Pertuan Agong (YDPA) telah menggunakan kebitaraan baginda untuk mengisytiharkan darurat ke atas seluruh Persekutuan pada 12 Januari 2021.

Darurat ini dirasakan perlu pada ketika itu bagi menggantung pelaksanaan pilihan raya negeri atau piliha raya umum – negara perlu ambil iktibar kesan daripada PRN Sabah. Namun, setelah 6 bulan pengisytiharan darurat, kes jangkitan harian meningkat ke angka empat digit dengan purata kes harian di atas paras 5000. Kes paling tinggi pernah dicatatkan melepasi angka 9000 tidak lama dahulu.

Sesetengah pemimpin tetap menyalahkan rakyat yang dikatakan tidak mengikut SOP PKP yang menyumbang kepada peningkatan kes. Akhirnya PKP Penuh dilaksanakan di seluruh negara menjelang Jun 2021. Setelah PKP Penuh dilaksanakan selama hampir sebulan, kes jangkitan harian masih tidak lagi menunjukkan tanda-tanda penurunan malah kekal tinggi. Adakah ini masih salah rakyat, ataupun salah perhitungan pemerintah yang membenarkan beberapa industri tetap beroperasi?

Atas alasan ini, terdapat permintaan dan seruan (termasuk daripada Majlis Raja-Raja sendiri) agar sidang parlimen diadakan semula bagi membincangkan masalah Covid-19 yang makin meruncing dan dilema ekonomi yang semakin menghimpit rakyat.

Kesimpulan

Yang di-Pertuan Agong (YDPA) telah menggunakan kebitaraan baginda untuk mengisytiharkan darurat bagi membendung wabak Covid-19, setelah mempertimbangkan nasihat pakar-pakar pelbagai bidang di Malaysia. Namun, setelah enam  bulan berlalu, kes masih lagi kekal tinggi melangit. Malah, Malaysia dicatatkan antara negara yang memiliki kadar jangkitan tertinggi di dunia dibandingkan dengan saiz penduduk Malaysia dengan negara-negara lain.

Sidang Parlimen perlu dibuka kerana  ini. Australia, Korea Selatan dan New Zealand adalah contoh negara-negara yang kekal menganjurkan sidang Parlimen di negara masing-masing ketika penularan wabak Covid-19 masih berlaku. Malah, jiran terdekat, Indonesia, yang dibelenggu kes jangkitan Covid-19 yang melangit juga telah mengadakan sidang di Dewan Permesyuaratan Rakyat (DPR) di Jakarta pada tahun 2021.

Sidang Parlimen perlu diadakan agar rakyat dapat menilai usaha yang kerajaan telah lakukan dalam membendung penularan Covid-19 serta menjadi medan untuk wakil-wakil rakyat mempersoalkan sama ada sesetengah tindakan itu adalah wajar atau tidak. Sebagai contoh, apakah wajar program vaksinasi berjalan begitu perlahan dan kenapakah kes harian masih tinggi walaupun PKP penuh dikuatkuasakan?

Adakah perbelanjaan besar yang dikeluarkan oleh kerajaan telah digunakan dengan optimum dalam usaha pemulihan negara akibat Covid-19? Sekiranya sidang Parlimen tidak dianjurkan, bagaimanakah semak dan imbang dapat dilakukan? Memandangkan semua ahli Dewan Rakyat sudahpun divaksinasi, sidang Dewan Rakyat sepatutnya boleh dijalankan di Parlimen dengan SOP yang ketat.

Setelah Dewan Rakyat bersidang, adalah diharapkan para wakil rakyat serius dalam mengetengahkan permasalahan rakyat, bukannya terlibat dalam perebutan kuasa. Rakyat sedang memerhatikan apa yang dilakukan oleh kerajaan dan pihak pembangkang dalam membendung wabak berbahaya ini. Sekiranya kerajaan sedia ada tidak mementingkan kebajikan warga, pilihan terserah kepada rakyat dalam menentukan kerajaan seterusnya menjelang Pilihanraya Umum ke 15 nanti.

 

Oleh: Prof. Madya Dr. Mohd Hazmi Mohd Rusli &
Dr. Noor Dzuhaidah Osman 
Pensyarah di Fakulti Syariah dan Undang-undang,
Universiti Sains Islam Malaysia

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast