Mat Ali menadah tangan berdoa sebelum menerima suntikan vaksin di PPV Kompleks Sukan Balik Pulau di sini hari ini.

BALIK PULAU –  “Tak sakit, seronok”. Itu reaksi seorang pemuda  Orang Kelainan Upaya (OKU) ketika menerima vaksin Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Kompleks Sukan Balik Pulau di sini hari ini.

Gelagat Mat Ali Zakaria,29, yang menghidap sindrom down itu menarik perhatian orang awam di PPV berkenaan susulan dia berkali-kali menadah tangan berdoa sebelum dipanggil untuk menerima suntikan.

Mat Ali antara 10 penduduk yang dibawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Bahang, Zolkifly Md Lazim untuk menerim vaksin menerusi Program Kru Prihatin Vaksin Bersatu Bahagian Balik Pulau.

Zolkifly (kiri) memberikan nombor giliran penerimaan vaksin kepada Mat Ali.

Menurut Mat Ali, dia teruja selepas diberitahu kru prihatin vaksin akan membawa dirinya ke PPV untuk menerima suntikan vaksin hari ini.

Dia yang yatim piatu itu tinggal bersama kakaknya di Jalan Baru  di sini, selain tidak mempunyai kenderaan untuk ke PPV.

Mat Ali seronok menerima suntikan vaksin Covid-19 di PPV Kompleks Sukan Balik Pulau di sini hari ini.

“Saya tak takut malah seronok sangat apabila tahu akan dicucuk untuk cegah jangkitan Covid-19.

“Cucuk ni sakit sikit saja tapi bagus sebab kita boleh bebas bergerak macam dulu,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, Zolkifly berkata, program kru prihatin vaksin itu dilancarkan Ahad lalu yang bagi membolehkan golongan warga emas serta kurang berkemampuan dibawa ke PPV untuk menerima vaksin.

Zolkifly.

Selain itu, individu yang tidak mendaftar untuk penerimaan vaksin turut dibantu menerusi program yang sama.

“Mengikut statistik dikeluarkan kerajaan, kawasan Balik Pulau merupakan antara 10 lokasi pendaftaran tertinggi namun hanya lapan peratus sahaja yang sudah menerima suntikan vaksin.

“Jadi kita kaji balik apa punca mereka tidak dapat hadir sebelum kita ambil inisiatif membantu mereka untuk mendapatkan vaksin Covid-19 mengikut jadual ditetapkan melalui aplikasi MySejahtera.

Zolkifly berbual dengan orang awam yang hadir bagi menerima vaksin di PPV Kompleks Sukan Balik Pulau hari ini

“Kita harap dengan inisiatif program kru prihatin vaksin ini kerajaan dapat mencapai imuniti kelompok,” jelas beliau.

Dalam perkembangan sama, Zolkifly memberitahu seramai 12 individu khususnya warga emas yang berada dalam keadaan terlantar di sekitar Teluk Kumbar, Gertak Sanggul dan Teluk Bahang akan menerima suntikan di kediaman mereka bermula esok. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast