KUALA LUMPUR – Usaha mengadu domba oleh pihak tertentu terhadap UMNO tidak akan melemah dan memecahbelahkan kepimpinan parti itu, kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Sebaliknya, Presiden UMNO itu mengajak pimpinan dan ahli untuk terus memberi fokus kepada kerja memperkasakan parti.
Katanya, adu domba itu tidak akan mengalihkan tumpuan kepimpinan daripada usaha menjulang kembali UMNO.
“Semangat dan persiapan UMNO berdepan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tetap bingkas dan terus mara, dengan pimpinan dan ahli parti akan terus mengambil berat keadaan rakyat dan negara.
“Saya menyeru semua pimpinan dan ahli, berusahalah semampu boleh untuk membantu walau dalam kapasiti yang terhad, tetapi pada masa sama berhati-hatilah dengan percaturan serta propaganda lawan. Kita kena bijak menilai kelicikan musuh,” katanya menerusi hantara Facebooknya, hari ini.
Ahmad Zahid berkata, ahli dan pimpinan juga perlu berhati-hati dengan muslihat serta tipu daya musuh.
Katanya, UMNO tetap UMNO dan pemimpin serta akar umbinya tahu apa terbaik untuk parti, bukan mempercayai kata-kata musuh yang bersifat memuji.
Beliau memberi jaminan, UMNO berada di landasan yang tepat dan mempunyai strategi untuk bangkit. – MalaysiaGazette