Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Malaysia akan menerima dua juta dos vaksin Covid-19 sumbangan daripada kerajaan Jepun  dan Amerika Syarikat (AS) bermula esok.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata,  Jepun dan AS masing-masing menyumbang satu juta dos vaksin kepada negara.

Jelasnya, pemberian ini akan memberi peluang kepada kerajaan memperhebatkan lagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) seterusnya membantu Malaysia mencapai nilai ambang yang telah digariskan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Kerajaan amat berterima kasih dan mengalu-alukan atas sumbangan vaksin dari kedua-dua negara.

”Sumbangan ini melambangkan keprihatinan kedua-dua kerajaan serta kepercayaan mereka terhadap negara kita dalam memerangi wabak Covid-19 dan untuk menyokong program imunisasi global bagi membendung wabak ini,” katanya ketika sidang media bersama dengan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba hari ini.

Ujar Khairy, vaksin yang akan diterima daripada kedua-dua negara berkenaan akan terus diedarkan ke Pusat Simpanan Vaksin (PSV) seluruh negara untuk kegunaan PICK dalam masa yang terdekat.

Mengulas lanjut, Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) memaklumkan beberapa PPV mula beroperasi dengan kadar pemberian yang lebih tinggi setiap hari.

Beliau memaklumkan, antara PPV Mega yang terlibat adalah Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dengan 8,000 dos setiap hari termasuklah Pusat Konvensyen Setia City, kapasitinya ditingkatkan kepada 6,000 dos setiap hari

Sementara itu, Khairy berkata, MySejahtera kini memperkenalkan ciri-ciri yang baharu untuk memudahkan permohonan vaksinasi untuk pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran ke luar negara.

Katanya lagi, permohonan perlu disertakan dengan dokumen sah, iaitu surat tawaran daripada univerisiti luar negara.

“Baru-baru ini, ciri-ciri itu telah dikemas kini di aplikasi MySejahtera dan boleh digunakan oleh pengguna sejak 28 Jun permohonan vaksin awal akan diproses oleh sistem 10 hari dan status boleh disemak selepas itu.

“Pengenalan ciri baharu ini untuk memastikan kelancaran urusan kumpulan pelajar yang perlu memenuhi syarat vaksinasi sebelum dibenarkan masuk ke negara lain untuk memulakan atau meneruskan pengajian,” tambah beliau.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast