Gambar hiasan

BATU PAHAT – Dengan hanya beroperasi selama 219 hari dalam tempoh 15 bulan, sekolah-sekolah renang telah mengalami kerugian yang teruk sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

Presiden Persatuan Perenang dan Jurulatih Renang Malaysia (Maswim), Richmond Ho berkata, disebabkan kelas renang tidak boleh dijalankan secara dalam talian, keadaan itu menyebabkan lebih 10,000 jurulatih renang tidak dapat bekerja.

“Kajian membabitkan 116 perusahaan renang yang menjadi ahli kami mendapati 79 peratus mempertimbangkan untuk gulung tikar pada separuh penggal kedua tahun ini.

“48 peratus pekerja telah diberhentikan dan 40 peratus jurulatih hampir tiada pendapatan manakala 37 peratus jurulatih mengalami potongan separuh gaji mereka,” katanya kepada Oriental Online.

Menurut Richmond, dengan keadaan yang tidak cerah, ramai jurulatih telah mencari kerja lain buat sementara waktu.

“Beberapa ahli memberitahu mereka bercadang menjual aset yang ada untuk membayar tunggakan gaji pekerja dan kos lain,” katanya.

Jelasnya, walaupun kerajaan telah mengumumkan bantuan sekali gus sebanyak RM3,000 kepada mereka yang mengusahakan kemudahan sukan, tetapi ia tidak dapat memberi hasil yang berkesan.

“Hakikatnya, sewa yang dibayar sekolah renang adalah antara RM6,000 hingga RM50,000 setiap bulan.

“Bantuan yang diumumkan hanya cukup untuk kami membayar sewa untuk separuh bulan sahaja,” katanya.

Richmond berkata, banyak sekolah renang akan mengalami penutupan dalam satu atau dua bulan akan datang jika aktiviti renang terus dilarang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast