Deja Moss.

KUALA LUMPUR – Nama Deja Moss tidak asing lagi dalam industri hiburan tempatan meskipun tidak lagi aktif menghasilkan lagu baharu, keampuhan bakat anak kelahiran Sarawak ini masih terpahat dalam ingatan ramai.

Melewati dua dekad kemunculannya dalam industri hiburan, Deja yang pernah merangkul anugerah Penyanyi Terbaik Asia, Festival Muzik Asia 2005, menghadirkan sebuah catatan mengenai perjalanan jatuh bangun kehidupannya menerusi autobiografi, Hidupku Takdirku.

Di sebalik kemilauan populariti yang diraih, Deja turut merasai kepahitan dan kekecewaan yang menjadi titik tolak yang mengubah perjalanan hidupnya.

Anak seni berusia 47 tahun itu berkata, autobiografi setebal 200 halaman itu mempunyai pengertian tersendiri buat dirinya kerana ia menjadi tanda ingatan istimewa untuk peminat sebelum dia meninggalkan tanah air untuk memulakan kehidupan di Chicago, Amerika Syarikat.

Penyanyi yang terkenal dengan lagu Asmara Ini itu berkata, idea penghasilan buku itu tercetus sekitar pertengahan tahun lalu dan bersyukur impian itu menjadi kenyataan meskipun, terpaksa menempuh pelbagai rintangan untuk menyiapkannya.

“Bukan saya tidak mahu menghasilkan single baharu, namun proses pemilihan lagu memakan masa. Tambahan pula, ketika ini, negara masih berdepan kemelut Covid-19. Jadi, saya perlu mencari alternatif untuk mendekati peminat yang berterusan menghargai perjuangan saya.

“Melihat situasi semasa, saya terfikir menghasilkan sebuah buku yang memberi inspirasi dan motivasi kepada wanita, terutama mereka yang sedang berdepan episod sukar dalam kehidupan dan tercari-cari kekuatan untuk bangkit semula.

“Saya anggap penerbitan buku inspirasi ini sebagai tanda mata atau bingkisan hati buat peminat tersayang. Memang berat apabila terpaksa meninggalkan semua, tetapi saya akur tempat seorang isteri adalah di sisi suaminya,” katanya.

Deja mendirikan rumah tangga dengan lelaki keturunan Amerika-Syria, Maher Khani di Chicago, Amerika Syarikat pada Jun 2019.

Bagaimanapun, pandemik Covid-19 yang melanda dunia awal tahun lalu membuatkan mereka terpaksa berjauhan apabila Deja perlu kembali ke tanah air bagi menyelesaikan beberapa perkara peribadi sebelum memulakan hidup baharu di Chicago.

“Lebih setahun juga kami hanya berkomunikasi menerusi telefon dan panggilan video. Sepanjang tempoh itu, saya banyak berdoa supaya Allah permudahkan kami untuk dapat bersatu kembali dan menjalani rutin kehidupan berumah tangga seperti pasangan lain.

“Alhamdulillah, ia akan menjadi kenyataan sedikit masa lagi. Memandangkan saya terpaksa berada lebih lama di sana untuk menguruskan beberapa hal, termasuk permohonan mendapatkan status Penduduk Tetap, saya terfikir bagaimana mahu terus mendekati peminat di tanah air.

“Menerusi penerbitan buku ini, saya berharap kami dapat berkongsi sedikit pengalaman, di samping menyuntik kata semangat antara satu sama lain supaya terus kuat dan berani menempuh dugaan hidup, terutama ketika dunia sedang berjuang melawan pandemik Covid-19,” katanya.

Mengangkat falsafah Kesat Tangisan, Raikan Kekuatan, Deja berkata, Hidupku, Takdirku merangkumkan pelbagai episod yang pernah menguji kekuatan dan kecekalannya untuk terus berdiri menjadi dirinya hari ini.

Menerusi catatan itu juga, Deja membongkar episod beliau berdepan kemurungan apabila dibelenggu masalah peribadi, selain berkongsi detik mencabar apabila bertarung nyawa apabila menderita sakit misteri ketika awal perjalanan kerjaya nyanyiannya.

Deja turut berkongsi kecekalan mengharungi pelbagai episod kontroversi yang hampir meragut kerjaya seni yang begitu dicintainya, selain perjuangan mencari keredaan Ilahi yang memberinya kebahagiaan sebenar.

“Saya berharap garapan ini menjadi pemangkin buat wanita yang pernah tersungkur supaya berani mengumpul kekuatan kerana tiada siapa yang dapat mengubah nasib diri kecuali kita sendiri.

“Saya juga berharap, perjalanan yang saya lalui itu sedikit sebanyak memberi suntikan semangat dan motivasi kepada wanita di luar sana yang sedang berdepan ujian getir untuk tidak mengalah dengan dugaan hidup,” katanya.

Diterbitkan dalam dua versi iaitu cetakan dan eBook pada harga RM39.90 di platform Shoope. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast