LONDON – Tottenham Hotspur mengumumkan bekas pengendali Wolverhampton Wanderers, Nuno Espirito Santo sebagai pengurus baharu kelab itu bagi menggantikan Jose Mourinho.
Nuno, 47, mengikat kontrak dua tahun di kelab London utara itu selepas bekas pengendali, Mauricio Pochettino, Antonio Conte, Paulo Fonseca dan Gennaro Gattuso turut dikaitkan untuk mengisi tugas berkenaan.
Jurulatih dari Portugal itu akan memulakan latihan pra musim pada Isnin ini ketika pemain yang tidak terbabit dengan aksi antarabangsa pada musim panas ini akan kembali ke Hotspur Way.
“Apabila kamu memiliki sebuah skuad yang mempunyai kualiti dan bakat, kami mahu membuatkan penyokong berbangga dan menikmatinya.
“Sudah pasti ia satu penghormatan dan keseronokan berada di kelab ini. Saya gembira dan amat menantikan untuk memulakan tugasan,” ,” katanya dalam satu kenyataan di laman sesawang kelab.
Nuno pernah membimbing Wolves daripada saingan Kejuaraan ke Liga Perdana Inggeris pada 2018 dan menjamin penamat ketujuh secara berturut-turut pada dua musim pertama dalam kejohanan berkenaan, sebelum menamatkan saingan di tempat ke-13 musim lalu.
Sejak April lalu, Spurs tidak mempunyai pengendali apabila Mourinho dipecat dengan bekas pemain, Ryan Mason mengemudi pasukan di sepanjang baki musim lalu. – MalaysiaGazette