Kerajaan Perikatan Nasional (PN) didakwa telah sengaja menghalang dan mematikan kesuburan sistem demokrasi dan semak imbang  melalui institusi Parlimen negara ini.- Gambar hiasan.

LANDSKAP politik mencatatkan satu lagi sejarah. Tanggal “16 Jun 2021” telah dipahatkan sebagai tarikh yang penting dalam sejarah negara.

Satu lagi tarikh penting yang bakal mencorakkan masa depan negara. Pada petang 16 Jun, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah, menzahirkan pandangan supaya persidangan Parlimen diadakan secepat mungkin.

Titah itu bagi membolehkan pelan pemulihan negara yang dibentangkan oleh kerajaan pada 15 Jun lalu dan pelaksanaan Ordinan Darurat 2021 dibahaskan oleh ahli-ahli Dewan Rakyat.

Pandangan baginda itu dibuat selepas memperhalusi semua pandangan pemimpin parti politik, Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 dan sembah taklimat pakar dari pelbagai agensi kerajaan.

Perkara yang sama sudah pasti akan berlaku di peringkat negeri, dengan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.

Malah, baginda turut menzahirkan pandangan bahawa perlu adanya pentadbiran kerajaan yang stabil dan kukuh serta berupaya berfungsi dengan efektif dalam menangani wabak COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara.

Ini merupakan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu kali kedua diadakan bagi membincangkan mengenai isu kesihatan dan politik negara, dengan pertama kali diadakan pada 25 Oktober lalu.

Bermakna satu perkembangan bersejarah bagi menentukan hala tuju negara, di samping senantiasa memastikan kestabilan dan kesejahteraan negara.

Kita yakin sidang Parlimen dan DUN apabila dipanggil kelak akan digunakan dengan sebaik yang mungkin bagi menangani krisis kesihatan paling buruk yang sedang dialami.

Kita tidak boleh mengelakkan hujah dan debat politik yang panas yang bakal disaksikan. Bayangan tarikh Parlimen akan bersidang sudah ada. Beberapa negeri juga telah menetapkan tarikh DUN akan kembali bersidang.

Apa pun diyakini bahawa fungsi Parlimen dan DUN akan berjalan dengan efektif apabila dewan perundangan peringkat persekutuan dan negeri berlangsung dalam waktu segera yang diharapkan. Pada masa yang sama, Majlis Raja-Raja Melayu berpandangan bahawa tidak ada keperluan untuk darurat dilanjutkan.

Bermakna terdapat dua aspek di sebalik keputusan penting susulan sesi perbincangan khas yang diadakan. Pertama titah Yang di-Pertuan Agong agar sidang Parlimen diadakan dengan segera manakala satu lagi melibatkan tidak perlu ada darurat selepas 1 Ogos.

Sementara pelbagai pandangan diketengahkan susulan titah diraja itu, satu lagi perkara yang diperkatakan adalah apa yang akan berlaku sekiranya darurat yang diisytiharkan sejak enam bulan lalu tidak lagi dilanjutkan.

Sama ada tempoh ketidaklanjutan tempoh itu akan membuka ruang kepada kelangsungan pilihan raya – sama ada pilihan raya umum, pilihan raya negeri dan pilihan raya kecil.

Ketiga-tiga pilihan raya ini menjadi percakapan pihak-pihak berkepentingan politik dan pilihan raya sejak awal tahun ini, dan muncul semula sejak beberapa bulan lalu.

Spekulasi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) berterusan.

Sebelum ini adalah mengatakan ia akan berlangsung pada suku terakhir tahun ini dan ada yang mengatakan kemungkinan suku pertama tahun depan meskipun mandat semasa boleh berlarutan sehingga Julai 2023.

Secara purata ada 24 bulan lagi berdasarkan kepada tarikh sidang pertama Parlimen ke-14 susulan PRU ke-14 (PRU14) pada 9 Mei.

Kedua, pilihan raya kecil. Sekiranya mengikut peruntukan perlembagaan, tidak perlu ada pilihan raya kecil sekiranya hanya tinggal dua tahun sebelum mandat semasa berakhir.

Sidang pertama Parlimen dan kesemua DUN selepas PRU14 bermula antara bulan Jun dan Ogos 2018. Sidang Dewan Rakyat pertama bermula pada 16 Julai 2018.

Bermakna tinggal lagi kira-kira sebulan sebelum kita melangkah ke tempoh tidak perlu mengadakan pilihan raya kecil.

Bagaimanapun tiga pilihan raya kecil yang sepatutnya diadakan pada Disember 2020 dan Januari 2021, iaitu yang membabitkan kerusi Parlimen Batu Sapi, DUN Bugaya dan Parlimen Gerik.

Ketiga-tiga pilihan raya kecil itu dibatal dan ditunda ke satu tarikh lain ekoran darurat yang diisytiharkan bagi memberi ruang kepada usaha memerangi pandemik COVID-19.

Selain keperluan dan kemungkinan mengadakan ketiga-tiga pilihan raya kecil itu, tumpuan juga beralih ke Sarawak yang memerlukan penganjuran Pilihan Raya Negeri Sarawak (PRN) ke-12.

Pilihan raya negeri itu juga ditangguhkan susulan proklamasi darurat pada 12 Januari lalu yang membawa kepada penangguhan kesemua bentuk pilihan raya termasuk Sarawak.

Pelbagai tafsiran dibuat mengenai PRN Sarawak. Ada yang mengatakan PRN itu perlu diadakan dalam tempoh 60 hari sebaik darurat ditarik balik.

Bermakna PRN perlu diadakan menjelang bulan Oktober ini. Mandat DUN Sarawak telah pun tamat secara automatik pada 6 Jun lalu.

Bagaimanapun ia kekal berfungsi selepas itu di bawah Ordinan Darurat sehingga 1 Ogos ini. Ini kali pertama keadaan seperti itu disaksikan dalam landskap politik negara.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan bahawa pilihan raya akan diadakan apabila imuniti kelompok 80 peratus dicapai.

Malah beliau juga yakin sasaran untuk mencapai imuniti kelompok di negara ini akan dapat dicapai sebelum akhir tahun ini. Malah menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Mohd, PRU15 tidak akan diadakan selagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) belum mencapai 80 peratus rakyat mendapat suntikan vaksin COVID-19.

Dalam perutusan menjelang penguatkuasaan proklamasi darurat pada Januari lalu, Muhyiddin memberi komitmen tegas bahawa pilihan raya akan diadakan sebaik sahaja Jawatankuasa Khas Bebas memperakukan bahawa wabak COVID-19 telah reda atau pulih sepenuhnya dan pilihan raya selamat untuk diadakan.

Keputusan “16 Jun” telah meninggalkan kesan yang besar dan juga membawa kepada pelbagai tafsiran dan kemungkinan yang akan berlaku.

Kesemua pilihan raya kecil dan PRN Sarawak masih boleh dipanggil dan kemudian ditangguhkan sekiranya darurat setempat diisytiharkan sebagaimana disaksikan membabitkan kawasan Gerik, Batu Sapi dan Bugaya.

Sudah ada kes teladan sebelum ini bagi menangguhkan pilihan raya sekiranya keadaan semasa pandemik memerlukan untuk berbuat demikian.

Kemungkinan PRN Sarawak boleh ditangguhkan buat sementara sehingga pandemik COVID-19 benar-benar berjaya ditangani dan ada keperluan untuk mengelakkan ‘nasib’ yang dilalui ekoran isu yang muncul susulan PRN Sabah pada September lalu.

Tidak dapat dinafikan keadaan kemungkinan boleh berubah ke arah pilihan raya diadakan sekiranya program vaksinasi diutamakan membabitkan rakyat Sarawak dan tiga kawasan yang memerlukan pilihan raya kecil, iaitu Batu Sapi, Gerik dan Bugaya.

Selain itu, pilihan raya kecil juga perlu diadakan membabitkan kerusi DUN Melor, Kelantan selepas wakil rakyatnya meninggal dunia pada 30 April lalu.

Sebelum ini, Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak memaklumkan bahawa penangguhan itu selaras dengan Proklamasi Darurat dikeluarkan Yang di-Pertuan Agong pada 11 Januari 2021. Bermakna perlu ada empat pilihan raya kecil yang bakal diadakan.

SPR mempunyai tugas besar sekiranya kesemua pilihan raya kecil dan PRN perlu diadakan dalam tempoh dua bulan selepas darurat berakhir. Ketika ini keadaan masih belum jelas. Kekaburan, polemik dan tafsiran pelbagai berterusan.

G Manimaran merupakan pengamal media dan mantan Ahli Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC).- MalaysiaGazette