EMCO Enhanced Movement Control Order Selangor KL Kuala Lumpur Ismail Sabri Yaakob essential services
Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di 34 mukim dan 14 kawasan di ibu negara pada Sabtu ini hanya sektor perlu (essential services) seperti utiliti, pembersihan dan kumbahan sahaja dibenarkan beroperasi.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, selain itu, sembilan kilang bahan makanan dibenarkan menjalankan operasi mereka ketika pelaksanaan PKPD di Selangor dan Kuala Lumpur.

“Hanya kilang bahan makanan dan keperluan asas harian seperti beras, roti putih (loaf), gula, minyak masak, tepung gandum, susu segar, susu tepung bayi, ubat-ubatan, dan topeng muka dibenarkan beroperasi.

“Kebenaran untuk bekerja hanya bagi perkhidmatan perlu (essential services) atau menjalankan tugas rasmi kerajaan dengan surat pengesahan daripada majikan atau pas pekerja yang sah.

“Pekerja selain daripada perkhidmatan perlu tidak dibenarkan keluar dari kawasan PKPD dan tidak boleh bekerja sepanjang tempoh PKPD. Majikan dikehendaki mematuhi perintah ini dan
membenarkan pekerja-pekerja bekerja dari rumah (work from home),” katanya dalam kenyataan rasminya hari ini.

Dalam pada itu, restoran, kedai makan, food truck, penjaja tepi jalan dan medah selera dibenarkan beroperasi antara pukul 8 pagi sehingga 8 malam dengan hanya perkhidmatan bawa pulang sahaja dibenarkan.

Selain itu, kedai runcit, kedai serbaneka, kedai barangan keperluan harian dibenarkan beroperasi mengikut waktu yang sama iaitu dari pukul 8 pagi sehingga 8 malam.

Bagaimanapun, hospital, klinik dan makmal perubatan dibenarkan beroperasi sehingga 24 jam atau mengikut lesen kebenaran, sementara kedai farmasi, kedai penjualan ubat-ubatan, klinik haiwan, kedai makanan haiwan boleh beroperasi dalam tempoh yang sama.

“Stesen minyak dibenarkan beroperasi antara 6 pagi hingga 8 malam kecuali stesen minyak di lebuh raya bertol beroperasi sehingga 24 jam,” katanya.

Pasar borong dibenarkan beroperasi bermula 12 pagi hingga 6 pagi. Pasar awam, Pasar Tani Kekal (PTK) & MyFarm Outlet (MFO) dibenarkan beroperasi bermula 6 pagi hingga 2 petang.

“Sebarang aktiviti sukan, sosial, rekreasi dan budaya adalah tidak dibenarkan,” kata Ismail Sabri lagi. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

PKPD di 34 mukim Selangor dan KL mulai Sabtu ini