Logo Bank Negara Malaysia

KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia menerima sebanyak 29 permohonan untuk mendapatkan lesen bank digital telah diterima di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013, setelah tempoh permohonan selama enam bulan berakhir pada 30 Jun lalu.

Pelbagai pihak telah menghantar permohonan untuk mendapatkan lesen bank digital, termasuk bank-bank, konglomerat industri, firma teknologi, penyedia perkhidmatan e-dagang, syarikat Fintech, koperasi dan kerajaan negeri, kata Bank Pusat itu.

Menurutnya, pemohon yang berjaya dan memenuhi kesemua kriteria kehematan dijangka dapat menyumbang ke arah rangkuman kewangan yang lebih luas dengan menawarkan produk dan perkhidmatan kewangan untuk mengurangkan jurang pasaran bagi golongan yang kurang mendapat perkhidmatan kewangan dan yang tidak mendapat perkhidmatan kewangan.

Ini termasuk menggalakkan penggunaan penyelesaian kewangan yang sesuai dan pada kos yang berpatutan melalui penggunaan aplikasi teknologi yang inovatif.

Katanya, sehingga lima lesen akan dikeluarkan dan permohonan yang berjaya akan dimaklumkan pada suku pertama tahun 2022. – MalaysiaGazette