Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Gara-gara mengadakan mesyuarat pengurusan secara bersemuka, “bos-bos” sebuah agensi media kerajaan terpaksa dikuarantin selepas salah seorang urusetia disahkan positif Covid-19.

Menurut sumber yang turut menghadiri mesyuarat berkenaan, mesyuarat yang diadakan pada 30 Jun lalu telah dihadiri oleh 28 pegawai kanan agensi itu.

Berdasarkan minit jemputan dan kehadiran mesyuarat yang dilihat MalaysiaGazette, pertemuan berkenaan dilaksanakan secara tiga sesi bermula pada jam 9 pagi bagaimanapun pegawai urusetia yang disahkan positif Covid-19 itu menghadiri ketiga-tiga sesi berkenaan.

“Dia urusetia jadi dia berada di dalam bilik mesyuarat berkenaan pada setiap sesi.

“Sekarang, 28 pengurusan tertinggi berdepan risiko Covid-19 akibat pelanggaran SOP,” katanya kepada Malaysia Gazette di sini.

Mengikut prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuatkuasa 29 Jun 2021 yang dipaparkan di laman web Majlis Keselamatan Negara, semua mesyuarat perlu dilaksanakan secara dalam talian.

SOP PPN menetapkan perkhidmatan awam tidak termasuk perkhidmatan petugas barisan hadapan, keselamatan, pertahanan dan penguatkuasaan perlu melaksanakan kaedah Bekerja Dari Rumah (BDR) sepenuhnya

Kehadiran di pejabat hanya dibenarkan bagi perkhidmatan perlu dan tidak melebihi 20 peratus pada satu-satu masa berdasarkan keutamaan kepada proses kerja yang tidak boleh dilaksanakan secara BDR seperti pembayaran kontrak / invois / gaji, pembayaran / pengagihan bantuan bulanan / berkala kepada rakyat, penyelenggaraan / keselamatan premis, pengurusan teknikal ICT bagi tujuan penyelenggaraan sistem dan mesyuarat atas talian dan penyediaan dokumen melibatkan Jemaah Menteri.

Sementara itu, MalaysiaGazette cuba mendapatkan komen daripada Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berhubung perkara ini. – MalaysiaGazette