Dua indiividu gelandangan menerima makanan pada Program Helping Hand anjuran Parti Gerakan di Jalan Hs Lee, Kuala Lumpur. Foto HAFIZ SOHAIMI, 02 JULAI 2021.

KUALA LUMPUR – Kehilangan pekerjaan sejak empat bulan lalu mengakibatkan dua rakan dari Cheras terpaksa menjadi gelandangan di Jalan Tun H S Lee.

Kehadiran dan gerak-geri dua anak muda ketika program ‘Helping Hand’ anjuran parti Gerakan siang tadi mendorong wartawan MalaysiaGazette mendekati mereka.

Dari segi pemakaian dan kesihatan mereka, tidak menampakkan mereka ini digolongkan sebagai gelandangan namun takdir mereka terpaksa menjadi gelandangan kerana ia  pilihan terakhir yang mereka ada.

Mohd Rashidi, 32 dan Mohd Hadi Ani mula memilih kehidupan di jalanan apabila mereka diberhentikan kerja ekoran penularan pandemik Covid-19.

Mohd Hadi Ani

Mohd Hadi berkata, dia lebih selesa menjadi gelandangan daripada melakukan aktiviti-aktiviti salah seperti mencuri.

“Asalnya saya kerja macam biasa, lepas PKP pertama saya kerja di kedai alat ganti, lepas PKP tutup dan majikan saya bagi gaji selama 15 hari sahaja, lepas itu dia sudah tidak ada kewangan sebab perniagaan dia tutup.

“Sejak itu, saya jadi gelandangan, tidur rumah saudara tapi dua, tiga hari sahaja, takkan nak duduk lama.

“Jadi saya ambil keputusan untuk jadi gelandangan sebab ada orang bagi bantuan makanan, kalau mereka ini tidak ada, kami tidak tahu nak buat macam mana.

“Kalau kami mencuri, lagi orang pandang hina, saya rasa baik saya jadi macam ini,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Mohd Rashidi

Rakannya, Mohd Rashidi, kehidupannya berubah kerana tekanan Covid-19 yang menyebabkan dia kehilangan pekerjaan.

“Saya duduk di Cheras dengan kawan-kawan, kerja tidak ada jadinya takkan nak harap kawan-kawan, jadi kita tak nak susahkan kawan-kawan dan akhirnya saya disini.

“Sebelum ini kerja sebagai penghantar barang. Nak balik kampung tidak boleh. Ini adalah pilihan terakhir saya.

“Adik beradik dan saudara mara nak pandang pun tidak, lagi-lagi menolong saya,” katanya lagi.

Mohd Hadi berkata, mereka berdua berharap agar ada pihak yang boleh memberikan mereka peluang pekerjaan bagi memastikan mereka keluar daripada hidup jalanan.

“Dalam dompet saya ada RM10 sahaja, itu pun orang sedekah, saya sudah jimat tiga hari. Saya tidak boleh bergerak pergi mana-mana, memang susah.

“Saya nak kerja kalau ada pihak yang boleh bantu, kami nak kerja. Takkan hari-hari nak macam ini.

“Saya bukan biasa minta sedekah, saya pun tidak biasa kehidupan macam ini. PKP sampai bila gamaknya, terasa betul perit,” katanya lagi.

Raymond Nathan

Bagi warga emas, Raymond Nathan, 68, sudah menjadi gelandangan selama lebih 40 tahun, juga tidak mempunyai pilihan lain untuk meneruskan hidup.

Namun keadaan lebih sulit apabila pandemik Covid-19.

“Kehidupan saya masa PKP ini sangat susah, kita harap makanan daripada NGO sahaja.

“Tempat tidur memang saya tidak ada, saya tidur mana-mana saja.

“Saya mengharapkan bantuan makanan sahaja sekarang dari pagi sampai petang,” katanya.

Pesara, Irene, 69 pada Program Helping Hand (Gelandangan) anjuran Parti Gerakan di Jalan Hs Lee, Kuala Lumpur. Foto HAFIZ SOHAIMI, 02 JULAI 2021.

MalaysiaGazette turut berkesempatan bertemu dengan seorang warga emas pencen bernama Irene, 69.

Biarpun bukan digolongkan sebagai gelandangan, namun pandemik Covid-19 membuatkan wanita ini terpaksa mendapatkan bantuan makanan daripada badan bukan kerajaan (NGO).

Jelasnya, kehidupan yang dilalui sebagai warga emas itu sebelum ini tidak seteruk ketika pandemik melanda negara ini.

“Sebelum pandemik, kehidupan tidak teruk macam sekarang. Sekarang ramai yang sudah tidak ada kerja, kawan-kawan dan saudara mara pun tidak ada kerja. Nak pinjam duit pun susah sekarang.

“Tidak macam dulu, saya warga emas tidak banyak sangat belanja.

“Jika saya dapat makanan percuma, sudah cukup bagi saya. Malah orang-orang muda juga datang sini untuk dapatkan makanan percuma sebab kehilangan pekerjaan.

“Selalunya saya jarang lihat orang muda datang sini ambil makanan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast