KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu mengambil langkah lebih berani dalam usahanya membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat di semua peringkat yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh 3.0.

Jawatankuasa Kos Sara Hidup Pakatan Harapan (JKKSHPH) berpandangan, Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) akan lebih berkesan sekiranya kerajaan mengambil kira beberapa cadangan dikemukakan pihak pembangkang.

Dalam kenyataan bersama Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang itu, PH sepakat menyatakan sokongan dengan bantuan sara hidup yang dicadangkan ketua mereka, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kata kenyataan itu, cadangan Presiden PKR itu ialah bantuan bulanan RM1,500 perlu diberikan kepada golongan B60 untuk setiap keluarga sepanjang tempoh lockdown ini.

“Kita mencadangkan peruntukan tambahan RM1,000 diberikan kepada setiap isi rumah daripada golongan M20 berikutan pendapatan mereka berkurangan kesan daripada lockdown.

“Manakala sebahagian golongan M40 telah turun kepada B40 dan ianya telah melebarkan lagi kesenjangan pendapatan berdasarkan Laporan Majlis Tindakan Ekonomi Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

JKKSHPH terdiri daripada Ahli Parlimen Pasir Gudang – PKR, Hassan Abdul Karim; Ahli Parlimen Hulu Langat – Amanah, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus; Ahli Parlimen Stamping – DAP, Chong Chieng Jen; Ahli Parlimen Sekijang – PKR, Natrah Ismail; Ahli Parlimen Batu Gajah – DAP, Sivakumar Varatharaju Naidu; ADUN Maharani – Amanah, Norhayati Bachok; Ahli Parlimen Kota Kinabalu – DAP, Chan Foong Hin; ADUN Kubang Rotan – Amanah, Asmirul Anuar Aris; dan Ahli Parlimen Rasah – DAP, Cha Kee Chin.

Menurut kenyataan itu lagi, pihaknya juga menyambut baik bantuan bakul makanan yang dinaikkan jumlah pemberiannya daripada RM100,000 kepada RM300,000 bagi setiap kawasan Parlimen termasuk dalam kalangan kawasan pembangkang.

Pihaknya menyarankan kerajaan menyalurkan peruntukan itu serta merta kepada semua Ahli-ahli Parlimen untuk mengelakkan peristiwa terdahulu berulang kembali.

Selain itu, katanya, JKKSHPH juga menyeru kerajaan negeri melakukan perkara sama memberikan peruntukan kepada semua wakil rakyat secara adil dan saksama, demi mengharungi pandemik Covid-19 dengan harapan dapat meringankan beban rakyat.

“Mengenai moratorium, jawatankuasa itu menilai daripada perspektif rakyat secara keseluruhannya dan menyokong sepenuhnya langkah kerajaan memberikan moratorium secara automatik tanpa faedah yang jelas kepada semua golongan.

“Kementerian Kewangan dan institusi perbankan perlu sedar langkah ini sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat yang mesti dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat jelata,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast