KUALA LUMPUR – Usaha melancarkan kempen bendera putih, lebih kepada manifestasi kekecewaan rakyat, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata, rakyat kecewa kerana ramai dalam kalangan mereka hidup dalam kesulitan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dilaksanakan.
Bagaimanapun, katanya, terserah kepada penerimaan masing-masing mengenai pemasangan bendera putih.
“Mungkin pada mereka itu kaedah paling berkesan untuk dapat bantuan segera kerana hendak menunggu pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melalui i-Citra dan moratorium automatik lambat lagi.
“Doa antara kita dengan Allah perlu seiring dengan usaha. Bendera putih mungkin antara usaha, tetapi saya percaya anggota masyarakat perlu terus peka dengan persekitaran mereka.
“Mungkin ada berasa segan untuk menyatakan mereka dan keluarga dalam kesusahan,” katanya menerusi hantaran Facebooknya, hari ini.
Ahmad Zahid berkata, beliau difahamkan banyak persatuan penduduk dan pengurusan surau di sesebuah kawasan mewujudkan grup Whatsapp untuk penduduk serta kariah masing-masing.
Katanya, sehinggakan pesanan kepada yang memerlukan bantuan diminta hantar mesej secara peribadi supaya persatuan penduduk dan pengurusan surau dapat ikhtiarkan sesuatu untuk membantu.
“Ini terutamanya bagi mereka yang sebelum ini tidak ada dalam senarai asnaf persatuan penduduk dan pengurusan surau,” katanya.
Sementara itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk terus menyampaikan sumbangan barangan makanan mentah dan kering kepada penduduk dalam kawasannya.
Menurutnya, Pusat Khidmat Ahli Parlimen Bagan Datuk dengan kerjasama Pejabat DUN Hutan Melintang dan DUN Rungkup meneruskan usaha membantu rakyat yang dalam kesusahan ketika tempoh sekatan PKP 3.0.
“Usaha ini bermula pada Rabu lalu dari jam 12 tengah hari hingga 5 petang dan merupakan hari ketiga program.
“Sumbangan disampaikan melalui Ketua Komuniti Kampung dan Komuniti Taman Perumahan serta Kawasan Rukun Tetangga (KRT) kepada ketua keluarga yang memerlukan di Kawasan DUN Hutan Melintang.
“Semoga ia akan dapat meringankan beban warga Bagan Datuk yang terjejas kerana PKP 3.0 ini,” katanya.
Kata Ahmad Zahid, sesiapa yang ingin mendapatkan bantuan atau mengetahui ada yang memerlukan bantuan segera, sila salurkan kepada Ketua Pegawai Khas Ahli Parlimen Bagan Datuk, Ahmad Mat Atar di talian 019-575 7192 atau pejabat 05-6480209. – MalaysiaGazette