Ketua Penerangan IMAN, Arabath Ali Arul Alavundeen bercakap pada Program Bantuan Barang Basah Warga Parlimen Batu Anjuran Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) bersama Zarlith Event di Laman Pengantin Zarlith, Kuala Lumpur. Foto HAFIZ SOHAIMI, 02 JULAI 2021.

KUALA LUMPUR – Parti Perikatan India Muslim Nasional atau IMAN akan menyokong gabungan Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ketua Penerangan Iman, Arabath Ali Arul Alavudeen berkata, ketika ini, parti yang sebelum ini dikenali Parti India Muslim Bersatu Malaysia (PBIM) kekal menyokong Kerajaan PN dalam mentadbir negara.

Jelas beliau, IMAN juga telah memohon kepada PN untuk menjadi parti komponen.

“Kita berminat untuk bertanding dalam PRU15 kalau ada peluang. Namun tengok keadaan dulu dan buat masa ini belum ada berapa sasaran kerusi kerana parti belum berbincang lagi.

“Kami juga belum masuk mana-mana gabungan tetapi sudah mohon untuk masuk PN,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Program Bantuan Barang Basah Warga Parlimen Batu anjuran IMAN bersama Zarlith Event & Management Sdn. Bhd. (Zarlith) di Laman Pengantin Zarlith di sini hari ini.

PBIM ditubuhkan pada 2019 bagi memperjuangkan kepentingan masyarakat India Muslim itu yang bertitik tolak daripada kekecewaan masyarakat itu bahawa tiada parti untuk membela nasib mereka dengan sebenar-benarnya.

Namun pada September tahun, PBIM meminda perlembagaan parti dengan menukar nama kepada Parti Perikatan India Muslim Nasional atau IMAN.

Sejak awal tahun ini, IMAN aktif turun padang bertemu masyarakat dan kini memiliki Pengerusi Perhubungan Negeri di seluruh negara. – MalaysiaGazette